top of page
  • nabalunews

Pembentukan Malaysia bawa banyak nikmat dan manfaat


15 September, 2024


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berharap sambutan Hari Malaysia pada tahun ini memberi inspirasi dan kekuatan baharu kepada semua dalam meneruskan perjuangan untuk memastikan masa depan negara yang lebih cemerlang.


Katanya pembentukan Malaysia membawa banyak nikmat dan manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat di seluruh negara.


Namun, perjalanan membina negara ini masih panjang, berliku dan berdepan dengan pelbagai cabaran.


Beliau yakin cabaran itu dapat diharungi dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan rakyat negara ini atas kepentingan tanah air.


Berikutan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati tema sambutan Hari Malaysia tahun ini, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ sebagai cerminan penting kemakmuran dan kemajuan negara.


“Malaysia Madani yang disokong enam nilai teras utama mencerminkan visi kita untuk membentuk masyarakat yang berdaya tahan, harmoni dan progresif.


“Jiwa Merdeka menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif, menekankan semangat patriotisme dan cinta kepada negara.


“la juga membabitkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi dalam usaha kita untuk membina sebuah kesatuan rakyat yang kukuh dan harmoni,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2024, di sini.


Hajiji berkata, nilai-nilai Malaysia Madani seiring dengan aspirasi dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi panduan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan negeri ini.


Katanya, melalui dasar itu, kerajaan negeri berusaha memperkukuhkan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkasa pembangunan lestari.


“Gabungan nilai-nilai Malaysia Madani dan SMJ ini adalah manifestasi kesungguhan kita untuk melihat Sabah dan Malaysia terus maju dalam suasana yang aman dan makmur.


“Bagi kita di Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum akan terus dipertahankan dalam usaha bergerak maju ke hadapan.


“Ini kerana kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan Malaysia amnya dan Sabah khususnya.


“Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan dan terus bekerja keras demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang makmur, berdaulat dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.


Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia amat bermakna kepada seluruh rakyat negara ini untuk bersama-sama mengingati dan merayakan detik bersejarah pembentukan negara yang berlaku 61 tahun yang lalu.


Katanya, pada ketika itulah termeterai perjanjian yang menyatukan tiga wilayah, Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu untuk membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka di bawah satu bendera.

Comentários


bottom of page