Pembinaan CIQS sempadan Malaysia-Indonesia di Bantul sedang dilaksanakan
21 January 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Kerja-kerja Pembinaan bangunan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) sempadan Malaysia-Indonesia yang terletak di Kampung Bantul Daerah Kecil Pagalungan Nabawan sedang dilaksanakan ketika ini.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup memaklumkan kerja-kerja awalan ketika ini ialah pembersihan dan meratakan tapak tanah.
Katanya, kerja-kerja awalan bagi pembinaan bangunan CIQS di kampung Bantul sudah pun bermula dan ia melibatkan kerja-kerja pembersihan dan meratakan tapak kawasan bangunan yang baru tersebut
Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan perkara ini selepas merasmikan majlis Apresiasi dan jasamu dikenang Pejabat Daerah Nabawan dan Pejabat Daerah Kecil Pagalungan yang di salah sebuah hotel di sini pada Jumaat lepas.
Pada belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober tahun lalu, sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasa sempadan negara.
Antaranya, membina baharu dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang dan Bukit Berapit serta membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah dan juga membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.
Terdahulu berucap merasmikan majlis ini, Arthur berkata, kerjasama penjawat awam dan pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan perlu diteruskan demi kelangsungan pembangunan rakyat dalam kawasan Parlimen Pensiangan yang kedua terbesar di negeri ini.
Pada majlis itu turut diadakan menyerah dan menerima tugas antara Pegawai Daerah Nabawan yang baharu Technologists Marshal Anthony dan Peter Jiton Pegawai Daerah Nabawan sebelum ini yang bertukar ke Daerah Kota Belud.
Selain penyampaian Anugerah khas dan penghargaan kepada kakitangan Pejabat Daerah Nabawan dan Pejabat Daerah Kecil Pagalungan turut disampaikan adalah penghargaan kepada pesara.
Hadir sama pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey Suan dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Hasinin Kinsim.
תגובות