Pembudayaan Kecekapan Tenaga Penting Untuk Kelestarian Generasi Masa Hadapan - Fadillah
29 November 2024
PUTRAJAYA: Pembudayaan amalan kecekapan tenaga dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, pelepasan karbon serta kesan perubahan iklim terhadap negara, selain membantu untuk mengawal dan mengurangkan kesan rumah hijau kepada alam sekitar kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata pembudayaan amalan kecekapan tenaga bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga dan wang ringgit, malah ia juga berupaya membantu mengekalkan kelestarian sumber-sumber tenaga yang semakin berkurangan untuk generasi masa hadapan.
Fadillah berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Hadiah Energy Efficiency Challenge 2024 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST),
di sini, pada Khamis.
Pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga atau Energy Efficiency Challenge (EE Challenge) 2024 menerima 1,585 penyertaan di bawah semua kategori yang dipertandingkan di seluruh negara.
Tahun ini merupakan tahun ke-11 pertandingan ini diadakan sejak 2014 dan telah menjadi acara tahunan ST dalam usaha membudayakan amalan kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik dan gas dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Fadillah berkata generasi muda merupakan ejen perubahan yang paling berkesan dan adalah amat penting untuk kesedaran mengenai kecekapan tenaga diterapkan sejak di bangku sekolah.
Beliau berkata berdasarkan analisis laporan yang dikemukakan oleh ST, sekolah yang menyertai kategori Sekolah Paling EE pada tahun ini telah mencatat penjimatan penggunaan elektrik sebanyak 53,014 kWj, iaitu bersamaan dengan nilai RM28,400 berdasarkan tarif kategori B.
“Saya amat berbangga untuk mengumumkan bahawa penjimatan tenaga terkumpul sepanjang 11 tahun penganjuran pertandingan ini adalah sebanyak 1,568,025 kWj.
“Penjimatan ini bersamaan nilai RM840,446 dengan penghindaran karbon sebanyak 1,207 tan CO2. Hasil penjimatan terkumpul ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan sebanyak 18,113 batang anak pokok selama tempoh 10 tahun,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ST Datuk Abdul Razib Dawood.
Abdul Razib berkata harapan ST adalah amalan kecekapan tenaga ini dapat dibudayakan dalam kehidupan seharian, walaupun selepas pertandingan ini berakhir.
“Ini bagi memastikan kita melahirkan generasi yang cakna akan kelestarian alam sekitar. Jadikan ilmu dan panduan kecekapan tenaga yang anak-anak pelajari daripada penyertaan pertandingan ini sebagai amalan di rumah atau di sekolah.
“Ibu bapa dan penjaga juga boleh menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak dalam menggunakan tenaga elektrik dengan cekap,” katanya.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan tahun ini, iaitu #Poster-Drawingchallenge, Story-telling challenge, Video EE Paling Kreatif dan Sekolah Paling EE.
Comments