Pembudayaan keusahawanan harus bermula di sekolah - Ewon

19 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) akan meneruskan kerjasama dengan koperasi-koperasi sekolah di seluruh negara bagi membudayakan keusahawanan dikalangan pelajar.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, sekolah bukan sahaja tempat pelajar untuk menimba ilmu tetapi juga melahirkan usahawan-usahawan berjaya.
“Oleh itu, saya mahu mendengar cadangan-cadangan daripada pihak sekolah, guru-guru dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) bagaimana kita dapat bekerjasama untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang keusahawanan melalui koperasi sekolah.

“Ini selaras dengan tujuan pengwujudan koperasi sekolah iaitu memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai konsep koperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Bantu Sekolah” Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada semua sekolah dalam kawasan Parlimen Penampang, di Dewan SM St.Micheal Penampang, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengetua Cemerlang SM St.Micheal Penampang Jennifer Asing.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut merakamkan penghargaan kepada YBR atas bantuan tunai kepada 60 buah sekolah rendah dan menengah di kawasan DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang.
“Ia melibatkan 52 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah kebangsaan. Daripada jumlah itu 31 sekolah di Kadamaian dan 29 sekolah di Parlimen Penampang menerima bantuan itu.
“Bantuan untuk sekolah di DUN Kadamaian telahpun diadakan kelmarin di Dewan SMK Narinang Kota Belud dan sumbangan untuk sekolah-sekolah Parlimen Penampang disampaikan hari ini,” katanya.

Ewon berkata, program CSR YBR adalah permulaan kepada lebih banyak lagi program seumpama ini di Kadamaian, Penampang dan seluruh Sabah pada masa akan datang.
Sementara itu Philp berkata, program itu adalah antara inisiatif Yayasan Bank Rakyat bertujuan menaik taraf sosioekonomi masyarakat melalui Pendidikan.
“YBR menyediakan program-program dan merancang pelbagai bantuan Pendidikan yang memfokuskan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk merasai suasana pembelajaran yang serba mencukupi,” katanya.
Bagi tahun 2022, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta melibatkan 87 lokasi di seluruh negara.
Comments