Pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah dibuat secara adil dan demokratik - Dr Peter

21 Disember 2024
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dr Peter Jr Naintin mempertahankan pelantikan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu, dan menegaskan bahawa keputusan itu dibuat melalui proses yang adil dan demokratik melibatkan semua empat parti komponen PH Sabah iaitu UPKO, DAP, Amanah, dan PKR.
Peter menjelaskan bahawa pemilihan yang diadakan pada 1 Disember lalu dihadiri oleh 24 perwakilan, enam dari setiap parti, yang semuanya bersetuju untuk melaksanakan proses pengundian.
Katanya pengundian yang dipantau oleh sekretariat PH dari Putrajaya itu menyaksikan Ewon dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah yang baharu, katanya kepada Borneo Digest.

“Perbincangan dijalankan dengan persefahaman dan persetujuan oleh semua perwakilan yang hadir, dan proses pengundian dibuat mengikut perlembagaan PH Sabah.
“Keputusan untuk memilih Datuk Ewon sebagai pengerusi dipersetujui oleh semua yang hadir,” katanya.
Beliau turut menekankan autonomi PH Sabah, dengan menyatakan bahawa gabungan itu berdaftar secara sah di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Kami adalah entiti yang berdiri sendiri dengan kuasa untuk membuat keputusan secara bebas. Proses pengundian dilaksanakan secara adil, telus, dan mengikut perlembagaan,” katanya, sambil menambah bahawa semua parti telah bersetuju dengan kaedah pengundian yang digunakan pada hari tersebut.
Mengulas kritikan daripada beberapa pihak dalam gabungan itu, Dr Peter berkata adalah tidak wajar untuk mereka yang terlibat dalam proses tersebut kini mempertikaikan pula keputusan yang telah dipersetujui bersama.
“Semasa mesyuarat, semua pihak telah bersetuju dengan proses tersebut dan turut mengundi. Jadi tidak ada asas bagi sesiapa untuk membantah sekarang,” tambahnya.
Dr Peter menyeru semua pihak dalam PH Sabah untuk menghormati proses demokrasi dan memberi tumpuan kepada perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
“Oleh kerana PH Sabah kini telah didaftarkan secara rasmi, kenyataan rasmi daripada PH Sabah perlu dibuat secara kolektif, dengan merangkumi pandangan daripada semua parti gabungan. Ini adalah masa untuk bergerak ke hadapan dan bekerjasama sebagai satu pasukan,” katanya.
Comments