Pemimpin kanan PH Sabah turut hadiri persidangan UPKO
27 Nov 2021
Oleh Ilona Andrew
PENAMPANG: Persidangan Agung Luar Biasa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 2021 yang diadakan di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, di sini, menyaksikan kehadiran pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Mereka yang hadir untuk memberi sokongan adalah Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon; dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.
PKR, DAP, Amanah dan UPKO merupakan parti komponen dalam gabungan PH.
Persidangan yang diadakan secara hibrid (bersemuka dan secara talian) itu dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
Antara pemimpin UPKO yang hadir adalah Presiden Kehormat, Tan Sri Bernard Dompok; Pengerusi Majlis Penasihat, Tan Sri Wences Angang; dan Naib Presiden, Datuk Ewon Benedick.
Sebuah aplikasi telefon pintar MY UPKO yang merupakan satu pembaharuan yang dibangunkan khas untuk ahli-ahli parti juga telah dilancarkan pada hari ini.
MY UPKO menyediakan pelbagai fungsi dan perkhidmatan termasuk permohonan pendaftaran ahli baru, serta sajian berita, video dan maklumat terkini perkembangan UPKO.
Aplikasi ini juga mempunyai sistem Derma, sebuah sistem yang membolehkan setiap ahli menderma kepada parti secara seikhlas hati.
Comments