top of page

Pemimpin masyarakat Cina tandatangani Perjanjian Malaysia, peranan besar kemajuan negara - Ewon

nabalunews

10 Februari 2025


PENAMPANG: Semua etnik di Malaysia mempunyai peranan bersama dalam membangunkan kemajuan negara serta memastikan toleransi dan perpaduan antara kaum.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas penubuhan negara Malaysia ditandatangani oleh pemimpin daripada pelbagai etnik di negara ini pada tahun 1963.


“Pemimpin masyarakat Cina juga menandatangani Perjanjian Malaysia (MA63). Justeru peranan dan tanggungjawab masyarakat Cina sangat besar dalam pembangunan kemajuan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan keusahawanan negara.

“Sebagai negara yang mempunyai rakyat berbilang etnik, kita harus saling melengkapi dan berkerjasama untuk memastikan toleransi, perpaduan dan keharmonian agar kita dapat memberi fokus sebenar dalam membangunkan kemajuan negara,” katanya.


Ewon berkata demikian semasa berucap merasmikan sambutan Pesta Tahun Baharu Cina anjuran gabungan Kapitan-Kapitan Cina daerah Penampang di sini, semalam.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang mengalu-alukan inisiatif yang pertama kali dianjurkan oleh Kapitan-Kapitan Cina Penampang dan telah memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menjayakan sambutan tersebut.

Beliau turut menyatakan inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan di Penampang sejak beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen pada November 2022.


“Sebaik dipilih menjadi Ahli Parlimen Penampang, saya telah bangunkan Pelan Induk Pembangunan Penampang dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah yang telah diluncurkan pada Disember 2023. Pelan ini akan menjadi input kita dari Penampang untuk Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMK13) 2026-2030.


“Selain bersiapsiaga untuk memasuki RMK13, kita juga perlu pastikan pelaksanaan beberapa projek belum mula, projek lewat dan projek sakit di Sabah termasuk di Penampang antaranya projek tebatan banjir yang telah diberikan lanjutan tempoh beberapa kali.

“Di Donggongon, projek tebatan banjir kini sedang rancak dibuat iaitu pendalaman dan pelebaran parit Donggongon yang tertangguh kerana kelewatan pemindahan utiliti di sepanjang laluan parit utama ini. Kerja-kerja ini hanya berlaku semula pada hujung tahun 2023 selepas kita memberi fokus besar melalui mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Penampang.


“Selaku Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, kita juga membawa perkhidmatan baru ke Penampang melalui agensi-agensi antaranya pembukaan pejabat cawangan TEKUN, penambahbaikan Bank Rakyat, pembangunan Studio TEKUN TikTok Shop, premis Tamu Desa dan Hab PMKS selain daripada pembiayaan-pembiayaan kepada usahawan dan koperasi,” katanya.


Ewon menyatakan harapan agar rakyat pelbagai etnik di Penampang terus bekerjasama dengan agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dalam memastikan projek pembangunan dapat dijayakan.

“Saya yakin masyarakat Cina di Penampang akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan daerah ini bersama-sama dengan masyarakat etnik yang lain. Saya akan terus menyokong semua inisiatif rakyat yang baik termasuk cadangan oleh Kapitan-Kapitan Cina Penampang mengadakan sambutan ini setiap tahun,” katanya.


Turut hadir dalam sambutan itu ialah ADUN Kapayan Jannie Lasimbang, Presiden Majlis Perbandaran Penampang Francis Chong serta pemimpin-pemimpin daerah Penampang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page