top of page

Pemuda UPKO Kota Belud Perkukuh Adaptasi Sosial di Labuan

nabalunews


1 Februari 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


LABUAN: Program Integrasi Pemuda anjuran Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud berlangsung dengan jayanya di Pulau Labuan selama tiga hari, bermula 29 Januari lalu.


Program berkenaan bertujuan untuk memperkukuh tahap penyesuaian diri pemuda dalam pelbagai kelompok sosial sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).


Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran berkata, adaptasi sosial merupakan aspek penting dalam membentuk barisan pemuda yang lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran politik serta kempen pilihan raya akan datang.


Katanya, sepanjang program itu, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti dan sesi ceramah yang memberi nilai tambah kepada mereka.


“Antara pengisian utama program ialah ceramah pertama yang dikendalikan oleh Dr. Rizoh Bosoron, Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.


“Ceramah ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai peluang-peluang yang disediakan oleh KUSKOP bagi memperkasa ekonomi belia,” katanya.


Turut hadir dalam sesi ceramah adalah Ketua Pemuda UPKO Labuan, Ahmad Hazrie Satumih, yang sempat berkongsi pandangan serta pengalaman dalam memperkukuh peranan pemuda dalam politik dan masyarakat.


Jolyhame berkata, ceramah kedua pula membincangkan isu-isu semasa serta perbincangan mengenai penyelesaian sementara dan jangka panjang bagi cabaran yang dihadapi oleh pemuda dan masyarakat setempat.


Katanya, program ini jelas memberi impak positif kepada keseluruhan peserta, terutama dari segi pemahaman mereka mengenai kepentingan adaptasi sosial dan keupayaan mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran politik serta kemasyarakatan.


“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sokongan yang diberikan kepada program ini.


“Penghargaan juga diberikan kepada Ketua Bahagian UPKO Labuan, Macguel George Junior yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran serta kejayaan program integrasi ini,” katanya.


Jolyhame berkata, menerusi kejayaan program kali ini, Pemuda UPKO Kota Belud berhasrat untuk meneruskan penganjuran program seumpama ini di masa hadapan.


Katanya, ia bagi memperkukuh lagi jaringan sosial serta kesiapsiagaan mereka menghadapi cabaran politik dan kepimpinan.

Sementara itu, program turut dimeriahkan dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Pemuda UPKO Kota Belud dan Labuan Mix.


Jolyhame berkata, ia bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan serta kerjasama antara pemuda dari kedua-dua kawasan.

Tags:

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page