Pemuda UPKO Penampang serah memorandum kepada MPP, mohon kadar caj letak kereta di Penampang dikaji semula dan diturunkan
10 September 2024
PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus membawa suara rakyat serta memperjuangkan kepentingan dan hak-hak mereka di semua peringkat kerajaan dengan visi untuk memastikan kemajuan yang seimbang dan inklusif di Sabah.
Hari ini, Pemuda UPKO Penampang mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Francis Chong di pejabatnya.
Kunjungan diketuai Ketua Pemuda UPKO Penampang, Billy Joe Dominic ini bertujuan untuk membawa beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh golongan belia di Penampang untuk mendapat perhatian daripada pihak Presiden MPP khususnya berkaitan kadar caj tempat letak kereta.
Dalam pertemuan ini, Pemuda UPKO Penampang telah menyerahkan memorandum yang memohon agar kadar caj tempat letak kereta di Penampang dikaji semula dan diturunkan.
Ini berikutan rungutan daripada masyarakat yang merasakan caj parkir yang dikenakan terlalu tinggi dan membebankan.
Turut dikemukakan isu berkaitan lesen kafe dan hiburan yang lambat mendapat kelulusan.
Presiden MPP memaklumkan bahawa proses kelulusan lesen di Penampang kini lebih mudah berbanding sebelum ini.
Kelulusan lesen boleh diberikan oleh Presiden MPP sendiri selepas mengambil kira pandangan daripada agensi kerajaan yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan serta lokasi pusat hiburan tersebut.
Namun, pihak pengusaha dinasihati agar mematuhi undang-undang dan tidak beroperasi melebihi tempoh masa yang dibenarkan.
Pemuda UPKO Penampang turut membawa isu pembangunan belia iaitu pembinaan Skate Park pertama di Penampang.
Pemuda UPKO Penampang telah mengusulkan pembinaan sebuah kemudahan untuk golongan belia di Penampang bermain papan selaju
(skate board), rollerblade dan rollerskate.
Pihak MPP bersetuju untuk mencari kawasan yang sesuai bagi tujuan ini. Pemuda UPKO turut berjanji akan menganjurkan pertandingan X Games Skateboard sekiranya fasiliti tersebut telah dibina kelak.
Beberapa isu lain turut dibangkitkan Pemuda UPKO Penampang kepada MPP termasuk masalah penempatan yang tidak mempunyai sistem kumbahan yang baik, kehadiran kedai runcit yang diusahakan oleh warga Pakistan serta isu penimbusan parit, pemotongan bukit dan penimbunan tanah tanpa permit.
Semua masalah ini boleh diselesaikan dengan menggunakan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
Pemuda UPKO Penampang mengucapkan terima kasih kepada Presiden MPP kerana sudi menerima kunjungan mereka.
Pemuda UPKO Penampang juga menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada MPP demi memajukan lagi daerah Penampang.
Commenti