Pemuda, Wanita, GEM UPKO Kota Belud sokong penuh kepimpinan Ewon
6 Mei 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda, Wanita dan Generasi Muda (GEM) Pertubuhan Kinabalu Progesif Bersatu (UPKO) Kota Belud menyokong penuh agar Datuk Ewon Benedick diberi peluang menerajui parti itu.
Menurut mereka Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Naib Presiden dan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud mempunyai ciri-ciri kepimpinan tersendiri, berpendirian teguh, setia terhadap parti dan berjiwa rakyat.
Bagi generasi muda pula, bekas Ketua Komulakan itu merupakan ikon mereka sebagai pemimpin muda yang berpotensi menjadi pemimpin utama parti dan berkhidmat untuk pembangunan Kadamaian seterusnya negeri dan negara.
“Saya amat yakin dengan aspirasi dan kepimpinan beliau selama ini di Kadamaian akan menjadi satu pemangkin jika diberi peluang menerajui kepimpinan tertinggi parti ini.
“Pemuda UPKO Kota Belud akan terus memberi sokongan penuh jika Datuk Ewon bertanding jawatan lebih tinggi di peringkat Pusat,” kata ahli jawatankuasa Pemuda UPKO Kota Belud Joel Deukin.
Pendapat Joel disokong oleh Affendy Peninting sambil menyatakan bahawa Ewon memang layak menerajui kepimpinan tertinggi UPKO.
“Tidak dapat dinafikan, Datuk Ewon seorang pemimpin yang baik, prihatin dan amat komited terhadap kerja serta mempunyai personalitI yang mantap dan disenangi semua orang.
“Sebab itu jika beliau dicalonkan apa-apa jawatan tertinggi di peringkat Pusat, UPKO Kota Belud menyokong penuh dan mengajak mereka yang lain juga sama-sama memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui Nabalu News, kelmarin.
Ketua Pemuda Cawangan Podos Cholyne Roy Jumin berkata, sudah tiba masanya pemimpin muda diberi peluang menerajui parti besar, terutamanya mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UPKO.
“Parti kita memang memerlukan kepimpinan generasi muda yang mantap. Kita tidak dapat nafikan bahawa gabungan UPKO dengan parti-parti lain sebelum ini agak mengelirukan rakyat dan ini memberi tamparan hebat kepada UPKO untuk memberi keyakinan semula kepada rakyat.
“Ada rakyat yang dua hati menerima UPKO kerana ketidakyakinan mereka terhadap perjuangan kita. Oleh itu saya amat menyokong agar pemimpin muda seperti Datuk Ewon diberikan peluang untuk mengetuai parti,” katanya.
Berjiwa rakyat, mesra, memahami keperluan rakyat, tidak pilih kasih
Sementara itu bagi Wanita UPKO pula, cara berkempen dan ucapan-ucapan Ewon sebelum ini di Kadamaian memberikan satu semangat dan keyakinan kepada mereka untuk bergiat dalam politik dan menyertai UPKO.
Baini Maini Lakin mewakili Wanita Cawangan Melangkap Tiong berkata, dia menyertai UPKO kerana melihat kepimpinan dan cara Datuk Ewon berucap semasa program di sekolah beberapa tahun lalu.
“Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk menyertai mana-mana parti politik apatah lagi bergiat aktif dalam parti tetapi apabila saya melihat Datuk Ewon berucap dan mendengar sendiri ucapannya, ia memberikan semangat kepada saya untuk turut bergiat dalam politik.
“Ini kerana beliau (Ewon) masih muda tetapi ucapannya memberikan aspirasi, motivasi dan semangat kepada golongan muda,” katanya.
Selain itu katanya, Ewon juga seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, mesra, memahami keperluan dan masalah rakyat serta tidak pilih kasih.
“Beliau membantu semua orang tanpa mengira fahaman politik. Inilah ciri-ciri seorang pemimpin yang terbaik, saya amat kagum melihat cara kepimpinan beliau,” katanya.
Ketua Wanita Cawangan Lasau Minunsud Vivi Lizah Benjamin juga menyokong penuh jika Ewon dicalonkan sebagai Presiden UPKO.
“Walaupun beliau masih muda tetapi saya melihat potensinya sebagai seorang pemimpin amat besar, berkaliber dan berintegriti. UPKO amat perlukan seorang pemimpin seperti beliau,” katanya.
Vivi berkata, sudah tiba masanya parti itu diterajui seorang pemimpin muda yang mempunyai idea yang lebih segar dan bertenaga.
“Ciri-ciri kepimpinan yang mantap dapat dinilai melalui caranya mengurus parti di peringkat Bahagian. Bagi saya Datuk Ewon tidak mempunyai masalah untuk menerajui parti di peringkat pusat. Kita boleh menilai kepimpinannya di peringkat bahagian.
“Pengurusan parti di peringkat bahagian yang amat teratur dan dapat menarik orang ramai untuk menyertai UPKO kerana mereka kagum dengan cara kepimpinannya,” katanya.
Mempunyai cara kepimpinan tersendiri
Sambil menyokong pendapat rakannya, Ketua Wanita Cawangan Melangkap Tiong Konsulin Sidang berkata, Datuk Ewon mempunyai cara kepimpinan tersendiri yang tidak ada pada pemimpin terdahulu.
“Saya telah menganggotai parti ini lebih 30 tahun dan melalui pemerhatian saya selama ini, kepimpinannya amat berbeza dengan pemimpin yang lain.
“Misalnya semasa kempen, Datuk Ewon menasihatkan kami supaya berkempen secara berhemah, dia tidak pernah memburuk-burukkan pihak lawan dan tidak menyentuh hal peribadi pihak lawan semata-mata untuk menjatuhkan mereka.
“Sebaliknya beliau berkempen secara sihat dan hanya memberi tumpuan apa yang sudah dilakukan dan yang akan dilaksanakannya untuk pembangunan dan kebaikan rakyat Kadamaian.
“Berkempen jangan sampai meninggalkan kesan buruk terhadap pihak lawan kerana pada akhirnya semua tinggal dalam satu kampung… itu adalah antara pesanan Datuk Ewon setiap kali berkempen. Pemimpin seperti itu jarang dijumpai,” kata Konsulin.
Selain itu katanya, Ewon juga mempunyai pendirian teguh dan setia terhadap parti.
“Ramai pemimpin yang meninggalkan UPKO dengan alasan yang tidak munasabah, tidak matang dan tidak bertanggungjawab.
“Tetapi Ewon ada pendirian tetap, beliau ada kesetiaan terhadap parti dan komitmen tinggi untuk membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka. Ini dapat dilihat melalui kepimpinannya selama ini di kawasan Kadamaian,” katanya.
Ikon generasi muda
Bagi golongan muda pula, bekas Ketua Komulakan itu adalah ikon mereka sebagai pemimpin muda.
Ketua GEM UPKO Kota Belud Vod Zanix Sidin berkata, beliau menyokong penuh sekiranya Datuk Ewon bertanding jawatan tertinggi parti.
“Atas dasar percaya terhadap kepimpinan Datuk Ewon, saya yakin beliau boleh memimpin parti UPKO dengan cemerlang dan progresif. Saya menyokong penuh Datuk Ewon bertanding jawatan Presiden sekiranya beliau bersedia, terbuka hati dan fikiran bagi menyandang jawatan sebagai Presiden parti,” katanya.
Katanya lagi, pemimpin muda itu sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya Kadamaian.
“Kita boleh melihat usaha beliau untuk membantu rakyat Kadamaian menyelesaikan masalah dari segi pembangunan infrastruktur dan sebagainya. Beliau merupakan seorang pemimpin yang mesra rakyat dan keharmonian masyarakat beliau utamakan.
“Beliau telah memimpin dan meneraju Kadamaian dengan cemerlang selama ini,” katanya.
Timbalan Ketua GEM UPKO Kota Belud dan juga Ketua GEM Cawangan Piasau, Elia Jainis turut menyokong pendapat rakannya dan berkata, pergerakan Generasi Muda menjadikan Datuk Ewon sebagai ikon.
Beliau memuji kepimpinan pemimpin muda itu yang sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap rakyat Kadamaian.
Katanya, ini dapat dilihat daripada pembangunan yang telah dilaksanakan secara konsisten di Kadamaian dalam tempoh 2018 hingga 2020 semasa berada dalam kerajaan.
“Walau kini berada di blok pembangkang, beliau tetap mencari inisiatif untuk meneruskan pelayanan membantu dan membangunkan Kadamaian. Beliau sendiri turun padang memantau gerak kerja yang dilakukan di Kadamaian dan memantau pemberian sumbangan untuk rakyat.
“Sumbangan beliau kepada Kadamaian memberikan impak yang sangat besar. Selain itu, Datuk Ewon juga merupakan pemimpin yang mesra rakyat. Sikap ini amat disenangi dan dihormati oleh rakyat Kadamaian,” katanya.
Katanya lagi, dia menyokong sekiranya Datuk Ewon bertanding sebagai presiden.
“Pada saya beliau mempunyai pakej sebagai seorang pemimpin yang diyakini mampu meneruskan halatuju parti dan memastikan parti sentiasa berada di landasan yang benar,” katanya.
Naib Ketua GEM UPKO Bahagian Kota Belud Sylvinee Yosof juga menyokong Datuk Ewon, sekiranya bertanding jawatan tertinggi parti.
“Kita nampak kebolehan dan keupayaanya memimpin terutamanya di Kadamaian. Sekiranya beliau bertanding sebagai presiden atau apa-apa jawatan tertinggi parti, saya pasti ramai yang menyokong.
“Beliau adalah antara wakil rakyat di Kota Belud yang mempunyai kepimpinan terbaik, seorang yang aktif, lantang bersuara, adil, humble dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.
Comentarios