top of page

Pemukiman Khas Angkatan Muda Harapan Perkukuh Agenda Reformasi Anak Muda

nabalunews

18 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Harapan (AMH) telah mengadakan Pemukiman Khas sejurus pelantikan Woo Kah Leong sebagai Ketua Pemuda Baharu.


Pemukiman itu bertujuan memperkukuh hala tuju dan perjuangan sayap anak muda selaras dengan agenda reformasi negara.


Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan berkata, sepanjang sesi berkenaan, pelbagai perbincangan konstruktif dilakukan dengan menekankan beberapa agenda utama anak muda Malaysia.



Katanya, ia termasuk usaha berterusan Pakatan Harapan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).


“Ini selaras dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan reformasi sistem pendidikan tinggi serta memperkasakan suara mahasiswa sebagai pemangkin perubahan dalam negara.


“Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Bertindak Pemansuhan AUKU akan diwujudkan dalam pada itu untuk merangka segala gerak kerja berkenaan dengannya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.



Ammar berkata, AMH percaya bahawa pemansuhan AUKU adalah langkah penting dalam mengangkat martabat mahasiswa serta memberikan kebebasan akademik dan politik yang lebih luas.


Justeru itu katanya, AMH akan terus memperjuangkan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada anak muda, termasuk memperkukuh demokrasi kampus, memperbaiki akses kepada pendidikan berkualiti dan memperjuangkan hak serta peluang ekonomi yang lebih adil bagi generasi muda.


“Dengan semangat solidariti dan reformasi, AMH komited untuk memastikan suara anak muda didengar dan dijadikan keutamaan dalam dasar-dasar kerajaan demi masa depan Malaysia yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.


Terdahulu, Pemukiman khas yang diadakan di ibu negara itu melibatkan semua parti komponen Pakatan Harapan.


Selain DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah ia turut disertai Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang diketuai Felix Joseph Saang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page