Penambahbaikan LSP kurangkan bayaran balik pinjaman - JPA
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

28 April 2025
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penambahbaikan program Latihan Sebelum Perkhidmatan (LSP) sekali gus mengurangkan bayaran balik pinjaman pengajian di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam satu kenyataan hari ini, JPA memaklumkan model baharu LSP itu bagi menggantikan Pinjaman Boleh Ubah (PBU) 2016 berasaskan merit tempat berkhidmat kepada Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025.
Katanya, melalui model baharu tersebut, pelajar tajaan JPA akan menikmati pengurangan bayaran balik berdasarkan pencapaian akademik berdasarakan kriteria yang ditetapkan.
"Pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir 3.75 hingga 4 atau setara tanpa pelanjutan perlu membuat lima peratus bayaran balik manakala PNGK 3.50 hingga 3.74 atau setara tanpa pelanjutan membuat 10 peratus bayaran balik PBU Akademik.
"Sementara PNGK akhir 3.00 hingga 3.49 membuat 15 peratus bayaran balik, diikuti PNGK 3.00 dan ke atas atau setara (20 peratus), PNGK akhir di bawah 3.00 atau setara atau gagal pengajian perlu membayar 100 peratus pinjaman," katanya.
Dalam pada itu katanya, pelajar dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi (PPF) akan mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman sekiranya berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya serta memenuhi ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan.
"Sekiranya pelajar tidak tamat pengajian atau gagal memenuhi ikatan kontrak, mereka perlu membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman," katanya.
JPA berkata PBU Akademik akan diguna pakai kepada semua pelajar tajaan baharu mulai 1 Jun 2025 kecuali penerima Dermasiswa.
"Bagi pelajar sedia ada di bawah model PBU 2016, opsyen penukaran ke PBU Akademik akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
"Pelajar PBU 2016 yang sudah tamat pengajian dan kini membuat bayaran balik, diminta menghentikan bayaran balik bermula 1 Jun ini sehingga penukaran opsyen dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026," katanya.
Comments