Penampang Laksana Kempen Pengurangan Beg Plastik Mulai 1 April
nabalunews

19 Mac 2025
PENAMPANG: Majlis Perbandaran Penampang (MPP) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Penggunaan Beg Plastik di daerah ini, tiga hari seminggu berkuat kuasa 1 April depan.
Dalam satu notis makluman yang dikeluarkan, Presidennya Francis Chong berkata, kempen itu selaras dengan Kerangka Kerja Kelestarian Plastik 2021-2030 yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.
Selain itu katanya, ia juga sejajar dengan inisiatif ‘Kata Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna’ yang dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini.

“Sehubungan itu, MPP menyeru semua peniaga dan orang awam untuk menyokong pelaksanaan kempen ini yang akan dikuatkuasakan setiap hari Sabtu, Ahad, dan Isnin.
“Peniaga digalakkan untuk tidak menyediakan beg plastik kepada pelanggan dan sebaliknya menawarkan alternatif seperti beg kertas, kain, jaring, atau mana-mana beg boleh guna semula,” katanya.
Menurutnya, orang ramai disarankan membudayakan amalan membawa beg sendiri semasa berbelanja di premis perniagaan di sekitar Penampang.

Katanya, semua premis perniagaan perlu mempamerkan notis kempen di kaunter pembayaran bagi memastikan makluman dapat disampaikan kepada pelanggan dengan berkesan.
留言