Pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia
10 Februari 2025
RANAU: Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu selepas dipercayai mengalami masalah kesihatan, semalam.
Warga emas berusia 65 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Kilometer 5.5 Gunung Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang.
Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) serta malim gunung dan anggota ParkSAR dikerah ke lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dibawa turun menggunakan ‘robinson stretcher’ sehingga ke Timpohon Gate.
“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.03 malam.
Comments