Pendaki Hong Kong cedera di Gunung Kinabalu diselamatkan
13 Oktober 2024
RANAU: Seorang pendaki warga Hong Kong yang cedera di peha kanan
ketika menuruni Gunung Kinabalu dibantu untuk dibawa turun oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 30 tahun itu dibawa turun dari Kilometer 6.3 Sick Bay Panalaban, Gunung Kinabalu ke kaki gunung di Timpohon Gate.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.03 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota PBB MOSAR bersama enam Malim Gunung dikerah ke lokasi kejadian sebelum tiba jam 9.05 pagi.
“Mangsa dilaporkan terjatuh semasa menuruni gunung mengakibatkan paha kanannya cedera dan tidak dapat meneruskan pendakian di gunung berkenaan.
“Pasukan MOSAR bersama Malim Gunung kemudian bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan kaedah Robinson Stretcher.
“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Comments