Pendaki, malim gunung teruja, salji turun di Gunung Kinabalu
28 Feb 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KUNDASANG: Pendaki termasuk malim gunung yang berada di Gunung Kinabalu ketika fenomena salji turun di Sayat-Sayat sehingga ke puncak amat bertuah dan teruja kerana dapat menyaksikan sendiri kejadian yang jarang-jarang berlaku di Gunung Kinabalu.
Rakaman video menunjukkan salji di Gunung Kinabalu yang dirakam oleh para pendaki dan malim gunung turut dikongsi di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.
Menurut beberapa pendaki Gunung Kinabalu, kejadian salji di Gunung Kinabalu bukan perkara baru kerana ia pernah berlaku pada tahun 70-an.
Pengurus Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, berdasarkan rekod, fenomena itu pernah berlaku di Gunung Kinabalu pada tahun 1975 dan kali terakhir pada tahun 1993.
“Beberapa tahun sebelum ini ada dikatakan fenomena salji namun ia sebenarnya hanya proses pembekuan. Namun pagi ini memang salji yang turun. Ia berlaku kira-kira dua minit. Salji boleh dilihat dari Sayat-Sayat sehingga ke puncak Gunung Kinabalu di Kilometer 8.72,” katanya.
Justinus berkata, suhu yang direkodkan di Panalaban antara pukul 2 hingga 10 pagi tadi lebih kurang 6.9 hingga 12 darjah celcius, lebih sejuk daripada biasa.
“Saya percaya di puncak suhunya jauh lebih sejuk berbanding di Panalaban. Purata kelembapan yang direkodkan pada tempoh masa yang sama adalah 52 hingga 62 peratus dan ini bermakna ia lebih lembab daripada biasa, iaitu sekitar 70 peratus,” katanya.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia (Met Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, perkara ini bukan mustahil di kawasan tanah tinggi seperti di Gunung Kinabalu.
“Apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celsius dan adanya kelembapan yang mencukupi, kita boleh melihat proses pembekuan dan ia akan menghasilkan ketulan ais di permukaan batu-batu yang sejuk.
“Tetapi dalam keadaan tertentu salji boleh tebentuk apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan kelembapan mencukupi selain keadaan angin yang agak perlahan di sesuatu kawasan,” katanya menerusi video kenyataan media mengenai fenomena salji turun di Gunung Kinabalu, hari ini.
Comments