Pendaki Warga British meninggal dunia ketika turun Gunung Kinabalu

26 Februari 2025
RANAU: Seorang pendaki lelaki warga British berusia sekitar 70-an meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu pagi tadi.
Mangsa ditemui di Kilometer 8.2 selepas Check Point Sayat-Sayat, sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 7.17 pagi.
Menurut Ketua BBP Ranau, Penolong Penguasa Bomba Ridwan Mohd Taib, pasukan MoSAR, ParkSAR, dan malim gunung segera dikerahkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Pasukan penyelamat memberi rawatan awal sebelum mengangkat mangsa ke Panalaban Hut dan seterusnya membawa turun menggunakan ‘robinson stretcher’ menuju ke Timpohon Gate,” katanya.
Setibanya di Timpohon Gate pada jam 5.08 petang, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayatnya kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada jam 5.21 petang.
Pihak berkuasa merakamkan takziah kepada keluarga mangsa serta mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan pendakian, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Comments