top of page

PENDAPATAN JURUGAMBAR TERJEJAS AKIBAT COVID: AIZAD

Wartawan Nabalu News

Mohd Aizad

22 Feb 2021

Oleh Marryan Razan


Ada jurugambar yang terpaksa menjual kelengkapan kamera mereka bagi meneruskan kehidupan kerana tiada punca pendapatan seperti mengambil gambar majlis-majlis atau perkahwinan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKPB sejak tahun lalu sehingga kini.


Begitulah luahan hati seorang jurugambar, Mohd Aizad Abdullah atau lebih dikenali sebagai “AizadPhotography’ melalui akaun Facebooknya.


Mohd Aizad, 35, dari Membakut berkata, kesan daripada Covid-19 telah menghadkan pelanggan mengambil perkhidmatannya sebagai jurugambar.


Katanya, kebanyakan majlis perkahwinan terpaksa dibatal atau ditangguhkan dan ini mengurangkan punca rezeki mereka.

“Ramai rakan- rakan jurugambar terpaksa menjual kelengkapan kamera mereka bagi meneruskan kehidupan kerana tidak ada lagi punca pendapatan seperti mengambil gambar majlis-majlis atau perkhawinan.


“Bagaimanapun, saya sentiasa berfikiran positif dan mencari peluang yang ada kerana saya tidak terlalu bergantung kepada majlis dan perkahwinan. Ini membuatkan saya berfikir

lebih kreatif dan menerapkan cabang-cabang bidang fotografi lain seperti mengambil gambar produk.


“Kebanyakan pengusaha perniagaan secara kecil-kecilan atau sederhana di Sabah menghasilkan produk seperti makanan, pakaian, bahan kecantikan dan sebagainya. Jadi saya mengunakan kepakaran saya menyerlahkan produk mereka dalam bentuk gambar.


“Mereka sangat gembira dan mengambil saya sebagai jurugambar untuk produk mereka disamping saya dapat menjana pendapatan di musim pandemik ini,” katanya kepada Nabalu News.

Sebelum pandemik, acara-acara rasmi seperti majlis kerajaan dan swasta sangat rancak dan hampir setiap minggu perkhidmatan jurufoto diperlukan.


“Bagaimanapun semasa pandemik, pergerakan saya juga terhad kerana perniagaan saya bertapak di kawasan Kota Kinabalu. Sekiranya ada pelanggan yang memerlukan perkidmatan saya tetapi mereka berada di zon Covid kawasan merah, saya akan menolaknya dan ini mengurangkan pendapatan saya,” katanya.

Aizad jurugambar rasmi bagi Miss Scuba Malaysia.

Katanya lagi, banyak majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan disebabkan Covid-19 yang menghalang bakal pengantin merentas daerah atau negeri.


“Ada dikalangan pelanggan saya yang bekerja di Semanjung dan terpaksa balik ke Sabah untuk mengadakan majlis kerana mereka berasal daripada Sabah . Ada juga pelanggan yang berasal daripada Sarawak yang berkahwin dengan orang Sabah dan membuat majlis di sini.

“Selain itu, semasa mengambil gambar ia menjadi sukar kerana perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti menjaga penjarakkan dan majlis perlu siap pada masa yang singkat,” katanya.


Aizad berkata, sebelum ini beliau mengambil gambar dengan keadaan yang santai tetapi apabila SOP ditetapkan dan masa dihadkan kepada empat hingga lima jam “saya perlu tangkas mengambil gambar dan kadang kala masa tidak mencukupi kerana masalah yang tidak dapat dielakkan seperti kelewatan majlis, kelewatan pengantin dalam persediaan dan banyak lagi".

Bercerita mengenai kerjayanya sebagai jurugambar, Mohd Aizad yang berkelulusan Master Sains Pengurusan Projek (Perumahan, Pembangunan dan Perancangan), di USM Pulau Pinang berkata, beliau memulakan kariernya sebagai jurugambar sepenuh masa pada 2018.


“Pada mulanya saya mengambil gambar sekadar minat dan hasil gambar mula mendapat perhatian ramai sehingga menjadi pilihan agensi swasta dan kerajaan. Di samping itu, saya menjadi pilihan sebagai jurugambar utama bagi majlis perkhawin.


“Saya mengunakan sepenuhnya rangkaian media sosial seperti Facebook dan Instagram (Aizad Photography) sebagai mempromosikan perkhidmatan saya sebagai jurugambar,” katanya.

Mohd Aizad berkata, walaupun rata-rata keluarganya bekerja dalam jabatan kerajaan, namun baginya rezeki itu luas.


“Walapun saya mempunyai pendidikan sehingga master tetapi nilai semangat yang saya perolehi ketika belajar dahulu membuatkan kita lebih bijak mengatur masa, merancang dan mencari peluang yang ada.


“Ayah saya berpesan, walau apa pun pekerjaan yang ada, haruslah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan komited. Sentiasa memberi yang terbaik tanpa berputus asa,” katanya.


Antara kejayaan yang dicapainya sebagai jurugambar ialah dipilih sebagai jurugambar rasmi bagi acara-acara besar antaranya Miss Scuba Malaysia, Miss Grand Sabah, Mrs Kaamatan Sabah, Karya Pilihan Tahunan Sabah 2019, Mr Native Borneo, Pesta Kaamatan Beaufort, Pertandingan Unduk Ngadau Beaufort dan Pertandingan Unduk Ngadau Papar.


Beliau juga jurugambar majlis artis-artis popular seperti Neelofa (Perasmian Butik Neelofa di Putatan, Sabah), Kavita Sidhu ( Majlis rasmi di Sutera Habour), Hosiani James Jaimis (Jurugambar Music Video dan perkahwinan Hosaini James).

Jurugambar bagi produk Trusted sharks, The Hijab World , JKHAN 738 Butik, Mardhiyah Hijab Butik, Ora Lock Scaft, The Ars 'V' Couture dan HezD'lia Mandala.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page