Pendedahan masyarakat kepada kawalan kebakaran peringkat awal penting : Bomba
- nabalunews
- Apr 8
- 1 min read

8 April 2025
NABAWAN: Pengetahuan berhubung cara mengawal kebakaran peringkat awal perlu didedahkan kepada masyarakat khususnya golongan ibu-ibu atau suri rumah.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Nabawan, Jojie Ladius berkata, teknik mengawal kebakaran peringkat awal adalah penting bagi mengelakkan api merebak dan berlaku kebakaran yang lebih besar.
Katanya, kebakaran berlaku bermula dari api yang kecil dan sekiranya tidak dikawal ia akan merebak dan memusnahkan harta benda termasuk rumah.
“Mencegah kebakaran adalah tindakan awal bagi mengelakkan kebakaran dan menyelamatkan harta benda.
“Menerusi sesi ceramah ini, masyarakat didedahkan dengan latihan dan demonstrasi cara mengawal dan memadam kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah pencegahan kebakaran pada Program Jiwa @Komuniti Madani Kemasyarakatan Komuniti Madani Kampung Salarom Baru Nabawan di dewan kampung itu, baru-baru ini.
Sementara itu Pegawai Penerangan Daerah Nabawan Sam Mansibu berkata, Komuniti Madani kampung memainkan peranan dalam menyampaikan info-info terkini berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat akar umbi.
Selain itu katanya, ahli-ahli Komuniti Madani juga perlu bertanggungjawab dalam menyampaikan info yang sahih kepada masyarakat.
"Sebaik-baiknya tapis dulu informasi yang diterima sebelum diviralkan" katanya.
Antara lain pengisian program itu adalah gotong-royong menyelenggara perparitan, papan tanda dan membersih laluan Tagal kampung itu.
Comments