top of page
nabalunews

Pendekatan basmi kemiskinan tegar berasaskan daerah, lebih fokus dan mampan - Dennison


20 Disember 2024


KOTA KINABALU: Pendekatan membasmi kemiskinan tegar berasaskan daerah yang dicadangkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk mengurangkan kebergantungan kepada bantuan tunai adalah satu langkah yang menarik kerana kaedah itu lebih fokus dan mampan dalam menangani kemiskinan dan ketidaksamaan ekonomi.


Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R Indang berkata dari perspektifnya, pendekatan ini berpotensi memberikan manfaat besar jika dilaksanakan dengan berkesan, terutamanya di kawasan luar bandar seperti di Sabah, serta kawasan bandar yang menempatkan golongan miskin bandar yang sering terlepas pandang.


"Dengan menyesuaikan intervensi mengikut keperluan dan cabaran spesifik setiap daerah, strategi ini boleh memperkasa komuniti setempat, mendorong pembangunan akar umbi, dan mencipta peluang untuk berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan," kata Dennison dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya dalam konteks miskin bandar, ini boleh diterjemahkan kepada penyediaan peluang pekerjaan, peningkatan akses kepada latihan kemahiran, dan perumahan mampu milik yang lebih baik.


"Namun begitu, kejayaan pendekatan ini sangat bergantung kepada pengumpulan data yang tepat, ketelusan, dan keupayaan untuk menangani isu-isu asas seperti jurang infrastruktur, akses kepada pendidikan, dan peluang ekonomi.


"Dalam pelaksanaannya, pelan ini mesti merangkumi mekanisme akauntabiliti yang jelas serta melibatkan pihak berkepentingan di semua peringkat, termasuk pemimpin tempatan dan anggota komuniti," tegas Dennison.


Dennison berkata dalam konteks Sabah, ini boleh menjadi peluang untuk memastikan komuniti luar bandar dan miskin bandar menerima pelaburan yang mencerminkan keperluan unik mereka.


"Walaupun mengurangkan bantuan tunai adalah matlamat yang mulia, ukuran kejayaan sebenar adalah sejauh mana komuniti ini diberdayakan dan ditingkatkan ke arah daya tahan ekonomi jangka panjang, sama ada di kawasan luar bandar mahupun bandar," katanya.


Semalam pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama kerajaan negeri Sabah, Rafizi dilaporkan berkata kerajaan melalui RMK13 akan melaksanakan langkah intervensi terus miskin tegar di 10 daerah yang mencatat kadar kemiskinan tertinggi di negara ini dengan lapan daripadanya adalah di Sabah.


Rafizi berkata langkah itu antara lain akan membangunkan kegiatan ekonomi mampan di daerah terbabit yang membolehkan penduduk menjana pendapatan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong miskin tegar.


Menurut Rafizi, usaha mengeluarkan penduduk daripada belenggu kemiskinan tegar tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada pindahan wang tunai setiap bulan daripada jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat.

Comments


bottom of page