PENDIRIAN TERBARU UPKO TERHADAP DARURAT, KERAJAAN PERSEKUTUAN
18 Februari 2021
Surat Terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia
Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri,
UPKO menyertai suara majoriti rakyat Malaysia yang mahukan Darurat ditamatkan kini Perintah Kawalan Pergerakan pun (PKP) sudah berakhir: Bina kestabilan politik sebenar atas perjanjian antara parti-parti politik.
UPKO menyambut baik pengakhiran PKP 2.0 di semua negeri kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang dan ingin mengingatkan YAB Tan Sri bahawa perubahan positif ini juga pun menghapuskan sebarang justifikasi untuk meneruskan deklarasi Darurat.
UPKO menyeru YAB Tan Sri untuk mencari penyelesaian politik antara parti bagi menggantikan Darurat sebagai asas kepada kelangsungan kerajaan pimpinan Tan Sri.
Pada 11 Januari, YAB Tan Sri membuat pengumuman PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari . Atas nasihat YAB Tan Sri sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Darurat pada 13 Januari.
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari memberikan alasan untuk pengistyharan Darurat sebagai “satu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) ”.
Sekiranya pengakhiran PKP 2.0 bererti keadaan pandemik negara telah kembali kepada keadaan sebelum 12 Januari, maka Pengisytiharan Darurat telah menjangkaui tujuan asalnya, itu pun sekiranya ia wujud.
Sekiranya Darurat masih diteruskan setelah berakhirnya PKP 2.0, ia perlu diberikan satu justifikasi berdasarkan bukti oleh Jawatankuasa Khas Bebas yang diketuai bekas ketua hakim Arifin Zakaria, yang dilantik oleh Kerajaan pada 9 Februari.
UPKO menggesa Jawatankuasa Khas Bebas untuk segera bertemu dan menilai keperluan baharu untuk Darurat dalam memenuhi tugas berkanun iaitu "untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) ”.
UPKO menegaskan bahawa sebarang bentuk usaha mahupun pengaruh tidak wajar yang cuba menghalang dan mengelakkan Jawatankuasa itu daripada berjumpa adalah melanggar Ordinan dan juga bercanggah dengan perlembagaan. Ini juga merendahkan martabat Yang di-Pertuan Agong jika institusi diraja yang seharusnya berkecuali dan berada di atas politik terus dikaitkan dengan keputusan yang berunsurkan politik dan dipertikaikan.
Hari ini (16 Februari), 90 orang ahli parlimen daripada enam buah negara tetanga kita di ASEAN, yakni Negara Thai, Indonesia, Timor Timor, Kemboja, Filipina, dan Singapura, telah menyeru agar Parlimen dipanggil bersidang untuk memastikan kebertanggungjawaban kerajaan, menyemak langkah-langkah darurat, memelihara hak asasi manusia dan memberikan sumbangan idea dalam keputusan-keputusan dasar utama.
UPKO berpegang kepada analisa bahawa Darurat diisytiharkan berdasarkan nasihat yang salah, didorong terutamanya oleh perhitungan untuk mengelakkan pilihan raya dan persidangan parlimen.
Kerajaan YAB Tan Sri adalah kerajaan de facto minoriti sejak 12 Januari, dan telah cuba sedaya-upaya untuk mengelak undi tidak percaya agar dapat terus berkuasa. Kerajaan pimpinan Tan Sri takut akan kemungkinan Yang di-Pertua atau mana-mana seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua bertindak mengikut hati nurani mereka dan membenarkan undi tersebut secara sepatutnya, seperti yang dilakukan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak pada 4 Disember.
YAB Tan Sri,
UPKO memahami kesukaran yang dihadapi oleh Tan Sri, dan pada masa yang sama ingin memberi keyakinan bahawa YAB Tan Sri wujudnya penyelesaian yang demokratik dan dapat bertahan, iaitu gencatan senjata politik antara pihak kerajaan dan pihak pembangkang melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA), yang akan membolehkan Kerajaan untuk memerintah tanpa kebimbangan akan digulingkan dan Pembangkang untuk memberikan semakan perundangan dan input dasar melalui proses pembuatan dasar yang inklusif dan matang.
Sekiranya dipersetujui, gencatan ini boleh dilaksana sehingga 16 Jun 2023, iaitu tarikh Parlimen akan bubar secara automatik, supaya Tan Sri dapat memberi tumpuan tenaga terhadap pengurusan pandemik dan ekonomi sepanjang penggal Parlimen ke-14.
Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tersebut perlu merangkumi:
Kebenaran untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk berfungsi penuh tanpa sebarang halangan pentadbiran atas nama pandemik, dan persidangan secara maya atau hibrid diperkenalkan apabila perlu;
Penubuhan Jawatankuasa-jawatankuasa terpilih untuk merangkumi setiap portfolio menteri dan melibatkan setiap ahli persendirian (ahli pembangkang dan backbencher kerajaan) dalam sekurang-kurangnya satu jawatankuasa terpilih;
Pengiktirafan ke atas kabinet bayangan dengan diberikan sumber dan akses kepada maklumat berkaitan dasar yang diperlukan;
Satu akta parlimen untuk memperuntukkan Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang adil untuk semua anggota parlimen tanpa diskriminasi;
Permulaan proses untuk mewujudkan Pejabat Pendakwaan Awam yang terpisah daripada kawalan Jabatan Peguam Negara; dan
Jaminan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bebas, adil, bersih dan inklusif, yang akan secara automatik mendaftarkan sebagai pengundi semua warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang layak.
UPKO senada dengan hasrat semua rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan politik dalam usaha memerangi wabak dan kemelesetan ekonomi, akan tetapi, ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara parti yang dimudahcarakan oleh parlimen yang berfungsi dan berkuasa.
Menggantung kerajaan berparlimen sepertimana sekaranga di bawah Darurat ini atau membentuk 'Kerajaan Perpaduan' yang tanpa pembangkang' hanya akan mendorong kepada salah urus, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Tan Sri,
Kepentingan peribadi YAB Tan Sri terjaga dengan paling baik jika meninggalkan legasi sebagai seorang Perdana Menteri yang Berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut wabak Covid-19. Tidak perlulah YAB Tan Sri diingati sebagai Perdana Menteri yang lemah dan sentiasa bimbang akan riwayat politik sendiri sampai tidak dapat menumpukan perhatian untuk menyelamatkan nyawa dan meningkatka kehidupan rakyatnya.
Sebagai sebuah parti bertanggungjawab yang menghasratkan politik berasaskan dasar, UPKO akan menjadi yang pertama untuk menyokong Tan Sri dalam mengorak langkah berani untuk mencapai perdamaian antara parti-parti demi kestabilan politik yang sebenarnya.
Marilah kita bekerjasama untuk membolehkan Malaysia dalam pengurusan wabak dan pemulihan ekonomi.
Wilfred Madius Tangau
Ahli Parlimen Tuaran
Presiden UPKO
Donald Mojuntin
Senator Sabah
Timbalan Presiden UPKO
Ewon Benedick
Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian
Naib Presiden UPKO
Comments