Penduduk Kg Morion Sarayo rayu kerajaan selesai masalah hakisan tebing sungai
24 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Morion Sarayo kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek merayu agar permasalahan kawasan hakisan tebing sungai yang melanda beberapa buah rumah di kampung tersebut diselesaikan pihak berwajib dengan kadar segera.
Menerusi satu posting salah seorang pengguna Facebook, Went Ley yang difahamkan juga seorang penduduk di kampung tersebut, masalah tersebut menjadi lebih serius selepas banjir besar yang melanda di daerah tersebut baru-baru ini.
Ujar beliau, mereka sentiasa dihantui oleh banjir yang melanda baru-baru ini berikutan beberapa buah rumah yang dahulunya masih jauh dari tebing sungai, tetapi kini jaraknya tidak sampai satu meter daripada tebing disebabkan hakisan air sungai yang deras ketika banjir.
“Adun N7 Tandek sudah dimaklumkan kira-kira lebih 10 tahun lalu tetapi hampa (tiada tindakan)…Permohonan dibuat sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah sehingga kerajaan yang ada sekarang.
“Permohonan baru juga telah diajukan oleh badan kemajuan kampung dan telah dilawat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) awal tahun 2021, tetapi tiada khabar gembira,” katanya sambil menambah kampung tersebut menempatkan lebih daripada 50 buah keluarga.
Sementara itu, kawasan perkuburan yang juga berada di kawasan ini yang menempatkan dua buah kampung iaitu Kampung Morion dan Kampung Botition dan jalan raya ke kawasan perkuburan juga telah runtuh disebabkan hakisan sungai.
Selain Kampung Morion, difahamkan terdapat dua lagi kampung yang juga terjejas akibat masalah hakisan tebing sungai iaitu Kampung Gorontung dan Kampung Kuranji di daerah yang sama.
“Untuk makluman kerajaan yang ada sekarang ini, iaitu ‘Kerajaan Keluarga Malaysia’, kami mau tanya sampai bila kami mengemis memohon bantuan untuk menyelesaikan masalah yang kami hadapi sekarang?
“Kami tidak mengemis memohon bantuan berupa wang pun, kami hanya memohon supaya kamu bertindak menyelesaikan masalah yang kami hadapi sekarang ini untuk keselamatan penduduk kampung.”
Tambah Went, setiap kali hujan turun, mereka dihantui dengan perasaan takut sekiranya hakisan tebing sungai tersebut akan menjadi teruk.
“Ini demi keselamatan penduduk kampung, kami ada keluarga, ada di antaranya sudah tua dan anak-anak kecil dalam rumah. Oleh itu kami mohon keperihatinan dan tindakan segera dilakukan. Tolong dan bantu kami warga Tandek,” katanya.
Comments