Penduduk Kg.Sinompuru dakwa tidak terima notis pengusiran
- Wartawan Nabalu News
- Mar 8, 2022
- 2 min read
Updated: Mar 9, 2022

8 Mac 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN: Penduduk kampung Sinompuru kecewa dengan layanan pihak syarikat gergasi yang bertindak merobohkan rumah mereka tanpa notis yang mencukupi untuk mengeluarkan barang-barang daripada rumah.
Wakil penduduk kampung Robert Solumin berkata, kesemua penduduk kampung adalah orang asal Sabah yang menetap dan bercucuk tanam di kampung itu sejak tahun 80-an.
Mereka juga mendakwa tidak pernah menerima surat makluman atau notis daripada pihak berkuasa.
“Kami adalah panduduk asal orang Sabah tidak seharusnya dilayan seperti pendatang asing.
“Tindakan pihak syarikat gergasi merobohkan dua buah rumah di kampung ini pada 7 Mac (kelmarin) adalah tidak wajar dan tidak bertolak ansur kerana tidak memberi peluang kepada penduduk kampung mengeluarkan barang-barang dalam rumah. Di manakah keadilan untuk penduduk Kg Sinompuru?
“Kami meminta pihak kerajaan bertindak adil kepada penduduk Kg Sinompuru, Batu 12, Sandakan dan memberikan hak pemilikan tanah tersebut khas untuk orang asal Sabah yang sudah lama memohon dan tinggal di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hari ini tular di media sosial video memaparkan penduduk kampung berkenaan meluahkan ketidakpuasan hati terhadap tindakan pihak syarikat berkenaan merobohkan rumah di kawasan itu.
Robert berkata, penduduk kampung bergantung kehidupan dan pendapatan daripada hasil pertanian di kawasan tanah tersebut.
“Bagaimanakah rakyat mencari pendapatan sekiranya mereka dihalau keluar dari tanah mereka?

“Kami juga memohon pihak berkuasa tempatan terutamanya mahkamah agar lebih telus, bertolak ansur dan prihatin terhadap penduduk asal orang Sabah.
“Pihak ketiga tersebut telah menuntut tanah ini dan menuduh penduduk kampung menceroboh pada tahun 2017, sedangkan kami telah bercucuk tanam dan tinggal di kampung ini sejak tahun 80-an lagi,” katanya.
Sementara itu Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran Dr Peter Jr Naintin berkata, kerajaan harus bertindak adil terhadap penduduk orang asal di Kampung Sinompuru.
“Kampung ini sudah wujud sejak tahun 1980an lagi, atas nasihat Pejabat Tanah pada masa itu, terdapat 80 orang pemohon asal untuk saiz purata tanah seluas lima ekar seorang daripada pihak kerajaan. Namun, sehingga kini belum ada keputusan sebenar berkenaan status tanah tersebut.
“Penduduk kampung tidak tahu kewujudan sebuah organisasi yang menuntut tanah ini kepunyaan mereka. Menurut makluman, organisasi ini telah diberikan hak TOL untuk membuat aktiviti pembalakan satu masa dulu dan dimaklumkan juga tanah ini sudah dijual kepada pihak ketiga iaitu sebuah syarikat gergasi,” katanya.
Dr.Peter mendakwa, Pejabat Tanah dan Ukur menyatakan bahawa fail atau surat permohonan penduduk kampung telah hilang daripada pejabat mereka dan permohonan tanah mereka dibatalkan.
“Penduduk kampung sudah lama tinggal di kawasan ini sejak 45 tahun yang lalu. Buat masa ini, terdapat lebih kurang sembilan rumah dan dua daripadanya sudah dirobohkan kelmarin,” katanya.
Dr.Peter berkata, penduduk kampung terdiri daripada orang Kadazan, Dusun, dan Sungai iaitu orang asal Sabah yang mempunyai kewarganegaraan yang sah.
“Selain itu, terdapat tanah perkuburan lama dan balai raya yang cukup usang di kawasan kampung ini. Penduduk kampung bercucuk tanam di kawasan ini dan mengusahakan pelbagai jenis tanaman termasuk getah, kelapa sawit dan buah-buahan sejak sekian lama.
“Ini merupakan pendapatan utama penduduk kampung untuk menampung kehidupan seharian,” katanya.
Comments