top of page
nabalunews

PENDUDUK KINI BOLEH BUAT ADUAN, KONGSI PENDAPAT MENERUSI APLIKASI 'Miri CARES'



28 Jan 2021

MIRI: Penduduk Miri kini boleh menyalurkan aduan mereka secara terus kepada Majlis Bandaraya Miri atau wakilnya, ahli majlis bandaraya itu, pemimpin komuniti dan pihak media menerusi aplikasi ‘Miri CARES’ berbanding menggunakan kaedah tradisional.


Merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Bandaraya Pintar Miri, aplikasi itu bertujuan memperkasakan rakyat dengan mendaftarkan suara mereka secara elektroniki dalam pelayan sistem, yang akan memudahkan pencarian, pertanyaan dan analisis data pada masa depan.


“Masyarakat umum di Miri kini boleh mendaftarkan pendapat dan pandangan mereka dengan Majlis Bandaraya Miri baik dari segi aduan, pujian atau cadangan bagi penambahbaikan menerusi aplikasi Miri CARES.


“Ia boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery,” kata Datuk Bandar Adam Yii Siew Sang semasa prapelancaran aplikasi itu di sini hari ini.


Beliau berkata versi semasa aplikasi itu amat mudah digunakan dan ia didatangkan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.


“Rakyat akan dimaklumkan mengenai sebarang kemas kini dan mereka boleh mencari setiap kes pada bila-bila masa dan apabila diperlukan,” katanya.


Bagi menggalakkan penduduk Miri menggunakan aplikasi itu, majlis bandaraya tersebut akan memberikan hadiah kepada peserta yang menyumbang input terbaik melalui Miri CARES.


Mereka boleh mendapatkan butiran lanjut termasuk peraturan penyertaan melalui laman sesawang Majlis Bandaraya Miri di https://www.miricouncil.gov.my.


Yii berkata pelancaran Miri CARES tidak menandakan berakhirnya Program Bandaraya Pintar Miri sebaliknya menjadi permulaan pelaksanaan beberapa siri modul.


Selepas ini, aplikasi perisian lain akan turut dilancarkan secara progresif.


Yii yang bersyukur kerana Program Bandaraya Pintar Miri dimasukkan ke dalam Konsep Bandaraya Pintar iaitu antara sektor utama Ekonomi Digital Sarawak, berkata terpulang kepada rakyat untuk menggunakan teknologi digital dengan cara terbaik bagi membolehkan kehidupan mereka menjadi lebih baik.


Mereka yang berdepan sebarang kesukaran dalam menggunakan aplikasi itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Bandaraya Pintar Miri di talian 085-424 600, 019-2144 600 atau melalui e-mel mscc@miricouncil.gov.my.


Miri dipilih oleh Kerajaan Negeri Sarawak tahun lepas sebagai model pelannya dalam membangunkan aplikasi bandaraya pintar untuk meningkatkan perkhidmatan awam di bandar-bandar utama di negeri itu. - Bernama

Comentarios


bottom of page