Penduduk Rundum berharap naiktaraf jalan Kemabong - Rundum siap ikut tempoh
6 Januari 2025
KEMABONG: Penduduk Kampung Rundum yang kini dikenali Rundum Highlands dan sekitarnya berharap projek naiktaraf jalan Kemabong - Rundum sejauh 31 Kilometer (KM) siap ikut tempoh yang ditetapkan.
Penduduk yang ditemui rata-rata melahirkan harapan agar projek naiktaraf jalan itu siap dalam tempoh yang diberikan kepada kontraktor berkenaan.
Jurucakap penduduk Sun Suaf berkata, seperti yang tertera pada papan tanda projek, tarikh mula pembinaan naik taraf jalan Kemabong - Rundum ini adalah pada 24 Mac 2022 dan tarikh siapnya pada 23 bulan Mac 2025.
Tetapi pada masa ini katanya, yang diturap (diaspal) hanya lebih kurang 6 KM walaupun pemotongan bukit hampir siap.
Menurut Sun, pembinaan naiktaraf jalan ini agar lewat berbanding dengan pembinaan jalan Sepulut - Pagalungan di Nabawan dan jalan Sinua - Tongod di Sook.
"Kami penduduk yang menggunakan jalan ini mahu ia cepat siap supaya kami mudah mengeluarkan hasil pertanian kami. Sekarang ini kami sukar mengeluarkan hasil kerana kerja-kerja pembinaan sedang berlaku dan keadaan jalan licin pada musim hujan" katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Jelasnya, keadaan ini menyebabkan pendapatan penduduk terjejas kerana hasil pertanian tidak dapat dikeluarkan atau dipasarkan secara konsisten.
Selain itu katanya, urusan-urusan yang mendesak seperti menghantar orang sakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mendapatkan barang-barang keperluan harian di pekan Kemabong dan Tenom turut terjejas.
"Justeru itu kami berharap kontraktor dapat dapat menyiapkan pembinaan naiktaraf jalan ini dalam tempoh yang ditetapkan" katanya.
Walau bagaimanapun kata Sun, mereka berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana menyalurkan peruntukan untuk pembinaan projek naiktaraf jalan Kemabong - Rundum ini.
Apa yang penting sekarang katanya, adalah tanggungjawab kontraktor untuk menyiapkannya dan pihak Pegawai Penguasa iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Wakil Pegawai Penguasa JKR Tenom perlu membuat pemantauan dari masa ke semasa.
"Jika projek naiktaraf jalan ini siap kelak ia memberi impak yang besar kepada ekonomi penduduk kerana kegiatan pertanian terutama penanaman kubis dan sayuran tanah tinggi yang lain dapat diusahakan semula" kata Sun.
Comentarios