PENDUDUK TAGIBANG RAYU DUA JALAN UTAMA KE PEKAN RANAU, KOTA MARUDU DINAIKTARAF
26 Feb 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA MARUDU: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Tagibang di sini, menanti sinar harapan tahun 2021 agar dua jalan perhubungan utama penduduk kampung itu ke Pekan Ranau dan Pekan Kota Marudu dinakitaraf.
Menurut bekas pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Tagibang, Edin Dambilang, mereka sudah berkali-kali mengemukakan permohonan untuk tujuan itu, malangnya sehingga kini tiada jawapan menggembirakan.
“Sejak saya berkhidmat sebagai Pengerusi JKKK pada tahun 2010 hingga 2018, saya mengemukakan permohonan dan juga memasukkan keluhan penduduk kampung mengenai masalah ini dalam surat khabar dan televisyen setiap tahun dengan harapan ia mendapat perhatian kerajaan.
“Kami amat kecewa dan sedih kerana masalah utama kami seakan-akan tidak dipedulikan,” katanya ketika dihubungi Nabalu News, di sini, hari ini.
Edin berkata, jalan raya menghubungkan kampung itu dengan Pekan Ranau sejauh 6.5 kilometer bukan sahaja menjadi laluan utama penduduk kampung ke Pekan Ranau untuk membeli barang keperluan dapur, mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Timbua dan Hospital Ranau tetapi juga laluan pelajar yang bersekolah di SMK Timbua Ranau.
“Kami mahu agar jalan raya ini dinaiktaraf. Tiada alasan untuk tidak menaiktaraf jalan ini kerana ia bukan berada dalam kawasan hutan simpan, seperti jalan utama dari Kampung Tagibang ke Pekan Kota Marudu.
“Kampung kami bersempadan dengan Ranau. Jika jalan raya ini dinaiktaraf, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kg.Tagibang tetapi juga kepada kampung-kampung di sepanjang jalan itu iaitu Kg.Garung, Kg.Mongkosulap, Kg.Togopalang dan Kg.Gunsapou,” katanya.
Katanya lagi, kedua-dua jalan perhubungan utama ke Pekan Ranau dan Kota Marudu tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan terutamanya pada musim hujan kerana keadaan jalan yang berlumpur dan licin.
“Setiap kali jalan raya rosak, penduduk kampung sendiri akan bergotong-royong membaikinya, sebab itu kami amat berharap agar kerajaan ketika ini terutamanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek dan Ahli Parlimen Kota Marudu dapat membantu menyelesaikan masalah ini yang sudah berlanjutan sejak tahun 80-an,” katanya.
Edin juga berharap agar jalan perhubungan utama ke Pekan Kota Marudu sejauh 16 kilometer dinaiktaraf.
“Jalan raya dari Kg.Tagibang ke Kg.Kipopogong Gana Kota Marudu ini adalah laluan utama penduduk kampung ke Pekan Kota Marudu.
“Baru-baru ini Menteri Kerja Raya Datuk Bung Mokhtar Radin menyatakan jalan itu termasuk dalam Hutan Simpan dan sukar bagi JKR untuk menyelenggara atau menaiktaraf tetapi kenapa pada tahun 2016 JKR membaiki jalan itu? Tak kan kerajaan persekutuan dan JKR Sabah tidak dapat mengadakan perbincangan baik untuk membantu penduduk kampung?
"Kami memberikan sokongan penuh kepada kerajaan dari dulu sampai sekarang, namun mengapa masalah kami tidak pernah didengar?,” katanya.
Menurut Edin, Jabatan Kerja Raya sebelum ini pernah membaiki jalan raya tersebut dan menabur batu sungai, namun hanya untuk jalan sehala sahaja, sementara sistem perparitan tidak dibaik mengakibatkan ia mengalami kerosakan setiap kali hujan.
Sumber ekonomi utama penduduk Kampung Tagibang ialah menanam getah, kelapa sawit, halia dan koko, malangnya mereka sukar menghantar keluar untuk dipasarkan sama ada ke Pekan Ranau atau Kota Marudu atas faktor masalah jalan raya.
Hanya beberapa orang memiliki kenderaan sendiri di kampung itu, menyukarkan mereka jarang keluar ke pekan dan kereta mereka juga sering mengalami kerosakan disebabkan keadaan jalan raya yang teruk.
Edin berkata, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) juga tidak mahu mengambil risiko masuk kampung mereka untuk membeli getah disebabkan mereka pernah terkandas hampir seharian di tengah lumpur jalan raya.
Comments