Penduduk Tawau diseru manfaatkan aplikasi VSP
24 Januari 2025
Oleh: Wartawan Nabalu News
TAWAU: Masyarakat daerah ini disaran untuk memanfaatkan aplikasi 'Volunteer Smartphone Patrol' (VSP) yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia, khususnya menjelang perayaan Tahun Baru Cina 2025.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, aplikasi itu mampu memperkukuhkan kerjasama antara polis dan masyarakat dalam mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih selamat.
Katanya, aplikasi VSP memudahkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat jenayah dan sekaligus mampu meningkatkan keberkesanan rondaan serta pemantauan komuniti.
"Setiap kali cuti musim perayaan, kebiasaannya orang ramai pergi melawat sanak-saudara ataupun bercuti sehinggakan rumah yang ditinggalkan sering menjadi sasaran penjenayah.
"Melalui aplikasi VSP, penduduk boleh melaporkan maklumat rumah kosong lebih awal kepada polis bagi membolehkan rondaan secara lebih efektif dilaksanakan,"katanya.
Champin berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak ragu-ragu untuk memberikan maklumat bagi memudahkan penugasan polis.
Menurutnya, orang ramai boleh memuat turun dan mendaftar aplikasi VSP melalui Google PlayStore: https://play.google.com/store/apps/details?id=my.gov.onegovappstore.rv2
Apple Store:
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemberita Tawau (PPT), Tan Chin Cheng dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua Tawau (CCCT), William Tan, sepakat bekerjasama dengan PDRM bagi menyebar-luaskan kemudahan aplikasi tersebut menerusi platform masing-masing demi kepentingan awam.
Comments