top of page
nabalunews

Penduduk teruja Rumah SMJ di Kadamaian telah siap dan sedia didiami


16 Oktober 2024


KOTA BELUD: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, bersama-sama dengan Pemaju Masyarakat, Clarence Somuil melakukan lawatan ke rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mula dibina pada Julai 2024 di beberapa kampung di Kadamaian dan kini telah siap sepenuhnya serta sedia untuk didiami.


Penduduk yang ditemui melahirkan rasa teruja dan bersyukur dengan siapnya projek pembinaan Rumah SMJ yang telah lama dinanti-nantikan.


Dalam lawatan ini, Saikom dan Clarence meninjau rumah-rumah yang kini sudah siap sepenuhnya dan sudah sedia untuk didiami oleh mereka yang layak di Kampung Losou Podi, Kampung Tombulion Ulu dan Kampung Piasau.


Mereka turut meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra dengan penerima rumah SMJ di setiap kampung yang dilawati.


Antara penerimanya ialah Jafrey Mendile dan Fauziah Abdullah @ Kandayong yang mana rumah mereka di Kampung Losou Podi telah siap dan sudah boleh didiami.


Penerima lain yang ditemui Saikom dan Clarence ialah Kelarin Dam di Kampung Tombulion Ulu dan Yanis Ligag di Kampung Piasau. Kedua-dua rumah mereka juga telah siap dan sudah boleh didiami.


40 buah rumah SMJ dilaksanakan di Kadamaian bagi tempoh 2023 - 2024.


Dengan siapnya rumah SMJ ini, ia membawa sinar harapan baru kepada penduduk yang sebelum ini berdepan masalah tempat tinggal.


Sehubungan itu penduduk tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira mereka.


Ini kerana rumah ini bukan sahaja sebagai tempat berlindung, tetapi ia juga simbol keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib penduduk di luar bandar.


Penduduk yang ditemui merasa amat terharu dan bersyukur, dengan senyuman yang lebar, terukir di wajah mereka.


Projek Rumah SMJ ini merupakan antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang bertujuan untuk menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada penduduk yang memerlukan, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Kadamaian.


Rumah-rumah ini dibina dengan menggunakan bahan binaan yang tahan lama serta reka bentuk moden yang mesra alam.


Selain itu, kawasan perumahan ini turut dilengkapi dengan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, dan elektrik, yang memudahkan kehidupan seharian penduduk.


Projek ini bukan sekadar menyediakan rumah, tetapi turut bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk dengan menyediakan peluang ekonomi.


Bagi penduduk yang menerima rumah SMJ, ini adalah peluang untuk mereka memulakan kehidupan baharu.


Dengan adanya rumah SMJ ini, penerima dan keluarga merasa lebih stabil dan selamat dan penduduk kini tidak perlu lagi bimbang tentang keadaan tempat tinggal mereka.


Projek rumah SMJ ini bukan sahaja mengubah landskap fizikal kawasan tersebut, tetapi juga membawa perubahan positif dalam kehidupan seharian mereka.


Harapan dan impian penduduk untuk memiliki rumah yang selesa akhirnya tercapai, mencerminkan kejayaan inisiatif pembangunan negeri yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Comments


bottom of page