PENERANGAN YAB PERDANA MENTERI MENGENAI AKTIVITI PETROLEUM DI SARAWAK(PETRONAS-PETROS)

17 Februari 2025
Tan Sri Yang di-Pertua,
1. Negara telah membangunkan prakasa utama dalam rangka menjana
industri petroleum dan gas dengan memperkenalkan Akta Kemajuan
Petroleum 1974 [Akta 144] yang diluluskan sebulat suara di Dewan yang
mulia ini.
2. PETRONAS memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap
sehingga terkenal sebagai di antara gergasi di dalam industri petroleum
dunia malah muncul sebagai di antara penjana hasil utama belanjawan
negara selama hampir setengah abad.
3. Dan kini dengan kemunculan syarikat minyak negeri iaitu Petroleum
Sarawak (PETROS), ada kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan
kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan.
4. Maka, adalah satu kewajaran dimeterai permuafakatan agar tatakelola
dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas terus semarak dan
memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan PETROS
selanjutnya.
5. Walhasil, dengan menekuni semangat persekutuan dan Perjanjian Malaysia
1963, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak memperakui
perkara berikut:
i. Mengiktiraf Akta PDA 1974 sebagai Akta Persekutuan seperti yang
tertera dalam peruntukan undang-undang;
ii. Menyambut aspirasi negeri Sarawak yang berhasrat menceburi
kegiatan industri minyak di Sarawak dan hasrat dijelmakan melalui
Distribution of Gas Ordinance 2016 (DGO) dan berkuatkuasa pada 1
Mac 2025. DGO dibaca sekali dengan Akta PDA 1974, maka, PETROS
berperanan sebagai agregator di Sarawak;
iii. Peranan tersebut tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada
PETRONAS dan anak-anak Syarikat. Ini bermakna Petronas akan
mengekalkan semua perjanjian (contractual obligations) domestik dan
antarabangsa yang sedia ada;
iv. PETROS di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2
billion kakipadu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan
jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya. PETROS juga
berwewenang meluaskan kegiatan yang baru dan memanfaatkan
kerjasama dengan PETRONAS;
v. PETRONAS dan PETROS akan bergerak sederap sebagai rakan bagi
menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri
Sarawak; dan
vi. Segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat
dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
6. Izinkan saya memberi sedikit maklumat tambahan sebagai pencerahan
kepada semua. PETRONAS telah menyempurnakan tugas dengan menjamin
pengagihan kepada semua negeri. Bagi maksud penjelasan hari ini, saya
akan memberikan tumpuan kepada Sarawak. Manfaat pembangunan
industri minyak dan gas di Sarawak merangkumi pelaburan huluan
(upstream investment) dan infrastruktur berjumlah melebihi RM280 bilion
sejak 1976.
7. Daripada jumlah pelaburan huluan tersebut, dianggarkan lebih RM90 bilion
nilai kontrak yang dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas (2014-2024)
sahaja.
8. Syarikat vendor berdaftar dari Sarawak telah mendapat kontrak melebihi
RM40 biliion dalam tempoh yang sama.
9. Daripada segi pulangan kewangan, Sarawak telah menerima:
i. Bayaran Tunai (Cash Payment) sebanyak RM49 bilion (sehingga
Disember 2024);
ii. Bayaran Cukai Jualan (Sales Tax) sebanyak RM18.66 bilion (sehingga
suku ketiga 2024); dan
iii. Dividen sebanyak RM28.6 bilion (sehingga Disember 2024) telah
diperolehi melalui pegangan saham State Financial Secretary of
Sarawak (“SFS”) dalam Syarikat Kumpulan MLNG.
SFS merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah State
Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948.
10. PETRONAS juga telah menyumbang secara langsung kepada usaha
pembangunan modal insan warga Sarawak.
Sepanjang 10 tahun yang lalu:
i. Lebih RM600 juta telah pun dibelanjakan untuk pelbagai usaha
pendidikan dan pembangunan modal insan;
ii. Lebih 680,000 orang warga Sarawak telah mendapat tajaan dalam
bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik; dan
iii. Lebih 4,300 warga Sarawak pula mendapat peluang pekerjaan di
dalam PETRONAS.
Tan Sri Yang di-Pertua,
11. Sayugia diingat bahawa bahawa hasil mahsul besar yang diraih selama ini
oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana PETRONAS sebagai dana
utama di peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan negara. Ini semua berkat negeri Sarawak Bumi
Kenyalang dan kerjasama erat dan akrab Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan
pengiktirafan kepada peranan PETROS untuk terus menjana pertumbuhan
ekonomi Sarawak. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana muafakat ini
terus dikekalkan malah ditambah mantapkan buat menjamin kesejahteraan
negara dan negeri Sarawak. Saya ingin mengambil kesempatan ini
mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakan-rakan di PETRONAS
dan Jemaah Menteri yang bersetuju dan Premier Sarawak serta Kerajaan
Negeri Sarawak kerana kerjasama yang diberikan sepenuhnya. Terima
kasih.
Comentarios