top of page
Wartawan Nabalu News

Penerapan pembudayaan hormat menghormati sesama kaum bermula di sekolah: Ewon



11 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penerapan budaya saling hormat menghormati sesama kaum harus bermula di sekolah.


Beliau berkata, amalan hormat menghormati itu yang diterapkan melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti persatuan atau unit beruniform amat penting dalam melahirkan seorang pemimpin yang baik.


“Apa yang saya lihat semasa di bangku sekolah dahulu, bukan hanya aktiviti Pengakap itu yang menarik minat pelajar menyertainya tetapi disiplin dan undang-undang persatuan itu sendiri.


“Kita dikelilingi oleh masyarakat pelbagai kaum, agama, bangsa dan adat resam, sama seperti hari ini, para peserta perkhemahan berhimpun dari seluruh Sabah yang datangnya dari pelbagai kaum dan agama.



“Oleh itu, adalah menjadi impian saya untuk melihat ahli Pengakap mendewasa untuk saling hormat menghormati,” katanya ketika berucap merasmikan Program 1st District Camp 2023, di SK Bahang, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian kaum, setiap rakyat perlu memahami dan menghormati budaya, bahasa, agama dan adat resam orang lain.


“Cabaran kita dalam negara majmuk ialah perpaduan, tetapi cabaran ini kita boleh atasi dengan menerapkan etika saling hormat menghormati.



“Sepanjang saya mendewasa dididik oleh ibu tunggal, kata kunci yang saya pegang sehingga hari ini ialah ‘hormat’, kerana dengan rasa hormat itulah kita boleh membawa diri kita di mana-mana, kita hormati mereka yang lebih dewasa daripada kita, kita hormati yang lebih muda dari kita, hormati rakan-rakan, jiran tetangga dan pesekitaran kita,” katanya.


Oleh itu beliau berharap para pelajar dapat menerapkan etika ‘hormat’ dalam diri masing-masing sebagai pegangan mengambil alih kepimpinan negara pada masa akan datang.


“Negara ini perlu terus dibangunkan dan pembudayaan kepimpinan itu perlu diterapkan seawal semasa kita berada di bangku sekolah,” katanya.



Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Bank Rakyat atas sumbangan dan sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan termasuk penganjuran perkhemahan Pengakap di Penampang.


Perkhemahan Pengakap itu disertai hampir 600 peserta dari seluruh Sabah iaitu dari Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Pedalaman Atas, Pedalaman Bawah, Sandakan dan Tawau serta Peserta dari Indonesia (Pramuka).

Comments


bottom of page