Pengamal Media Perlu Bantu Bendung Elemen Negatif Di Media Sosial - Fadillah
13 November 2024
KUALA LUMPUR : Pengamal media sebagai rakan komunikasi strategik kerajaan harus berperanan aktif dalam membantu membendung elemen negatif di media sosial, seperti isu buli siber dan penyebaran berita palsu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menegaskan bahawa dalam era digital yang serba pantas ini, di mana maklumat dan berita mudah tersebar melalui media sosial serta dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI), semua pihak, termasuk pengamal media, perlu sentiasa bersiap sedia dan peka terhadap cabaran ini.
Fadillah berkata perkembangan dan perubahan itu boleh menjadi kelebihan namun jika tidak berwaspada terhadap penyebaran pelbagai maklumat di media sosial ia mampu mencetuskan masalah yang rumit dan membimbangkan.
“Di samping melaporkan kes buli siber, penipuan dan sebagainya, peranan pengamal media juga sebagai perisai dalam menangkis berita-berita palsu yang terus memenuhi segenap media sosial.
“Selain itu, media arus perdana juga boleh memainkan peranan dan tanggungjawabnya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman dan bahayanya jika mereka terjebak dengan jenayah media sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Jubli Intan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), di sini malam Selasa.
Majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Presiden NUJM Farah Marshita Abd Patah selain disertai lebih 300 pengamal media tempatan, menurut laporan Bernama.
Fadillah berkata perkembangan platform media sosial tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyebar elemen kebencian antara kaum dan agama, menghasut dan menyebar fitnah serta perkara negatif lain yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan bersetuju Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian akan dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memastikan negara mempunyai undang-undang yang lebih kukuh dalam membanteras serta menangani jenayah berkaitan media sosial.
Dalam perkembangan lain, Fadillah turut mengumumkan peruntukan RM150,000 kepada NUJM bagi membantu kesatuan itu memperkukuhkan peranan dalam menjaga kebajikan wartawan dan pekerja media di Malaysia.
Beliau berkata NUJM sudah membuktikan peranan dan tanggungjawabnya sebagai wadah dalam memperjuang kebajikan wartawan dan pekerja media di Malaysia yang kini usia penubuhannya sudah menjangkau 62 tahun.
“Dalam persekitaran ekonomi mencabar ketika ini, industri media antara segmen ekonomi yang turut terkesan termasuk penutupan media utama dan pengecilan operasi.
“Peranan kesatuan sekerja seperti NUJM untuk menjadi penghubung antara ahlinya dan majikan, membolehkan isu-isu kebajikan seperti kadar bayaran imbuhan atau upah pekerja dapat dibincangkan dengan lebih tertib dan muhibah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia dan penggubalan rang undang- undangnya, Fadillah berkata kerajaan berharap penglibatan dan dukungan pengamal media dan kesatuan sekerja media untuk menjayakan agenda penubuhan majlis itu.
Beliau berkata kerjasama daripada semua pemegang taruh akan memastikan hasrat penubuhan majlis dapat memenuhi matlamatnya, sekali gus membantu profesion kewartawanan terus berkembang maju.
Pada majlis itu, Fadillah turut menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Kepimpinan Wanita kepada Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima Farrah Naz Abd Karim dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Comments