top of page
Wartawan Nabalu News

Pengambilan penjawat awam baharu, kenaikan pangkat harus berasas kepada demografi kaum, agama - Ewon

27 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya pengambilan penjawat awam baharu, kenaikan pangkat dan pengisian ketua-ketua jabatan haruslah berasaskan peratusan demografi kaum dan agama di negeri ini.


Beliau berkata, ini selaras dengan semangat ‘mitabang’ (kebersamaan) dan Sabah Maju Jaya dalam pentadbiran kerajaan negeri hari ini.


“Saya terkilan apabila membaca aduan terkait pengambilan baharu perjawatan awam di sebuah jabatan kerajaan negeri yang tidak menggambarkan keberbilangan kaum dan agama di Sabah.


“Oleh itu, saya cadangkan agar pengambilan baharu, kenaikan pangkat dan pengisian ketua jabatan negeri haruslah berasaskan kepada peratusan demografi kaum dan agama di Sabah.


“Ini penting supaya kita boleh memupuk semangat ‘mitatabang’ seperti yang terserlah semasa menandatangan Perjanjian Malaysia 1963 apabila para peminpin suku kaum utama di negeri ini menurunkan tandatangan mereka mewakili team Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2024, pada persidangan dewan undangan negeri (DUN), di sini, hari ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sabah kerana memberi fokus besar kepada pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).


“Di peringkat Kerajaan Persekutuan, bermula di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), saya telah mengutarakan agar kita melaksanakan dasar pandang ke Timur dalam negara atau national look east policy dengan memberi tumpuan dan fokus tambahan kepada wilayah Borneo bagi pembangunan keusahawanan dan ekonomi.


“Jika Indonesia berwawasan membangunkan ibukota Nusantara mereka di Kalimantan, jika Sarawak kian menyerlah dalam pembangunan ekonomi berasaskan kepada teknologi hijau dan industri air, maka sudah tentunya Sabah boleh membangunkan potensi ekonominya bagi mengujudkan sinergi ekonomi Borneo seterusnya menjadikan pulau ini potensi besar pusat ekonomi Asia Pasifik.


“Justeru, kita sama-sama perkasakan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah yang telah ditubuhkan atas cadangan saya di Dewan ini dan tidak lagi menoleh ke belakang.


“Kita berganding mahu untuk terus membangunkan PMKS di Sabah,” katanya.


Ewon berkata, di peringkat daerah, beliau mencadangkan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) diadakan setiap bulan bagi menyelaras, memantau dan menangani pelaksanaan projek-projek pembangunan dengan lebih baik dengan melibatkan wakil-wakil rakyat.


Comentários


bottom of page