top of page
nabalunews

Pengampunan: Permohonan dikemukakan banduan, Agong punyai kuasa prerogatif



3 Januari 2025


KUALA LUMPUR: Permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.


Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan hal ini berikutan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.


Di bawah peruntukan itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.


Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.


“Kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.


“Oleh itu sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang,” menurut Istana Negara, lapoe Bernama.


Sehubungan dengan itu, Istana Negara mengingatkan semua pihak untuk menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.

Comentarios


bottom of page