Penganjur Majlis 100 Hari Apsirasi Keluarga Malaysia dikompaun RM1,000
11 Dis 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Penganjur Majlis 100 Hari Apsirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun berjumlah RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan semasa majlis tersebut berlangsung.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pihaknya kecewa dengan penganjur yang gagal memastikan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat, telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan SOP dan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.
“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.
Khariy berkata, penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu seharusnya memberi contoh dan teladan yang baik serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan serta orang ramai.
Tambah beliau, nilai kompaun tersebut adalah nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember 2021.
“KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” ujarnya.
Majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dianjur oleh Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung dari 9-12 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Comments