top of page

PENGANTARAAN DALAM PERTIKAIAN KOMERSIAL MENINGKAT DALAM RRA COVID- AHLI EKONOMI

nabalunews


4 Nov 2020


KUALA LUMPUR: Keperluan kepada penyelesaian pertikaian dan timbang tara berkaitan pelbagai tuntutan komersial dan pembelaan undang-undang akan meningkat berikutan akibat yang tidak dijangka daripada impak ekonomi dan kesihatan pandemik COVID-19, kata ahli ekonomi dan penulis bebas di London, Mushtak Parker.

Beliau berkata apabila pertikaian ini melibatkan negara dan pelabur asing, serta syarikat antarabangsa, implikasinya adalah rumit.

“Petunjuknya ialah penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan akan meningkat berikutan impak ekonomi daripada pandemik dalam perdagangan antarabangsa dan urus niaga perniagaan,” katanya dalam ruangan Thoughts di laman web Bernama.

Memetik Kwadwo Sarkodie, rakan kongsi dalam firma undang-undang antarabangsa Mayer Brown, Parker berkata pandemik telah menyebabkan penurunan harga komoditi dengan ketara, berikutan permintaan yang merosot dan sekatan ke atas perjalanan disebabkan kawalan pergerakan yang dijangka mengehadkan keupayaan pihak-pihak yang berkenaan melaksanakan kontrak.

Sarkodie berkata ketidakpatuhan tidak akan dapat dielakkan walaupun dengan tujuan yang baik.

“Kita akan menyaksikan peningkatan pertikaian komersial dan dalam pengambilan penyelesaian pertikaian.”

Datuk Profesor Sundra Rajoo, antara pakar timbang tara terkemuka di Malaysia dan di rantau ini, bersetuju bahawa dijangka terdapat banyak pertikaian berkaitan COVID-19 yang melibatkan pelbagai tuntutan dan pembelaan.

Berdasarkan potensi gangguan ini, beliau bimbang mengenai impak kewangan terhadap mekanisme penyelesaian pertikaian itu sendiri.

Ini terutamanya jika pengadu atau pihak-pihak yang berkenaan, telah menghadapi liabiliti kewangan dan perniagaan yang serius berikutan pandemik, mempunyai kesukaran untuk membuat pembayaran walaupun fi profesional dan lain-lain berkaitan proses pengantaraan dan sebarang perjanjian penyelesaian.

“Penyelesaian pertikaian di Malaysia kini berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan mengenai impak yang berterusan daripada pandemik dan pengurangan sumber; hiatus dalam Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), sebelum ini dikenali sebagai Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur; dan pelancaran Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Terhasil daripada Pengantaraan (Konvensyen Singapura mengenai Pengantaraan), yang berkuat kuasa pada 12 Sept, 2020”.

Sehubungan itu, Rajoo berkata Konvensyen Singapura disambut baik oleh negara-negara membangun seperti yang dapat dilihat bahawa mereka adalah negara-negara utama yang menandatangani konvensyen tersebut.

Beliau juga berkata ia banyak bergantung kepada China tentang cara ia akan menggunakannya dalam Inisiatif Jalur dan Laluannya.

Konvensyen Singapura, sudah tentu, berbeza daripada AIAC berikutan konvensyen itu adalah perjanjian PBB, manakala AIAC merupakan institusi timbang tara.

Sementara itu, Sarkodie berkata Konvensyen Singapura akan memudahkan perdagangan antarabangsa dengan membolehkan pihak-pihak yang mempunyai pertikaian menguatkuasakan dan menggunakan perjanjian penyelesaian rentas sempadan.

“Perniagaan akan mendapat manfaat daripada pengantaraan sebagai pilihan penyelesaian pertikaian tambahan kepada tindakan undang-undang dan timbang tara dalam menyelesaikan pertikaian merentas sempadan,” katanya.

Sehingga Oktober 2020, 53 negara, diterajui oleh Amerika Syarikat dan China, telah menandatangani Konvensyen Singapura. - Bernama

Bình luận


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page