Pengedar dadah ditahan
nabalunews

4 Mac 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini, semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu berjaya ditahan polis kira-kira jam 2 petang bersama dadah yang dipercayai cuba dijual kepada penagih.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek berjaya menemui 13 paket potongan straw berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu.
“Semua dadah yang dirampas daripada suspek seberat 7 gram itu dianggarkan bernilai RM700 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun serta sebat tidak kurang dari tiga kali.
“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah atau dadah agar boleh berhubung lanjut di Balai Polis yang berhampiran.
Comments