top of page

USHWANE SOKONG PENGELUARAN AKAUN 1 KWSP

nabalunews

Rowindy

2 NOVEMBER 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Cadangan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP, mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Kebanyakan pencarum KWSP yang ditemui Nabalu News bersetuju dengan cadangan itu dan berpendapat cadangan itu amat wajar terutama dalam membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Bagaimanapun ada juga yang tidak bersetuju kerana bagi mereka Akaun 1 KWSP itu penting untuk simpanan masa depan dan hanya perlu dikeluarkan apabila mencapai umur yang ditetapkan.


Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE), Rowindy Lawrence Odong berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan itu untuk mengurangkan bebanan para pekerja yang menerima kesan akibat Covid-19.

“Saya menyokong cadangan itu sebab keadaan ekonomi ketika ini tidak menentu dan ditambah pula dengan penularan Covid-19 menyebabkan ramai pekerja terjejas termasuk diberhentikan kerja.

“Melalui pengeluaran simpanan akaun 1 KWSP itu, mereka boleh menggunakannya untuk memulihkan ekonomi keluarga.

“Misalnya, boleh dijadikan modal untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah untuk menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu seorang pekerja swasta, Arianna Shamson berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan itu dengan memberi pilihan kepada para pencarum KWSP yang benar-benar memerlukannya membuat pengeluaran dengan jumlah yang ditetapkan kerajaan.

“Mungkin bukan semua pencarum memerlukannya, sebab itu ada yang tidak setuju dengan cadangan ini tetapi bagi saya kerajaan perlu meletakkan diri dalam diri rakyat Malaysia yang terjejas teruk akibat pandemik ini.

“Ramai yang hilang pekerjaan dan menghadapi masalah kewangan untuk perbelanjaan mereka setiap bulan terutamanya pekerja swasta.

“Lagipun ini adalah simpanan dan duit mereka sendiri. Setiap pencarum ada hak untuk mengeluarkannya, jadi adalah wajar sekiranya kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan itu,” katanya.

Terdapat pihak yang merasakan bahawa pengeluaran simpanan daripada Akaun 1 caruman KWSP tidak perlu dilaksanakan buat masa ini.

Menurut mereka, jika pengeluaran simpanan Akaun 1 itu dibenarkan, pencarum KWSP bakal berdepan masalah lebih besar pada masa hadapan.

Sebelum ini pelbagai pihak mencadangkan supaya kerajaan membenarkan rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 untuk mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP mereka.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik sebagai berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran itu walaupun menyedari cadangan itu dibuat berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan wabak berkenaan.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page