Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen Satu Sejarah, Tahniah Kerajaan Madani: Madius
nabalunews

6 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Rabu merupakan satu sejarah besar dalam Sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkata, ia juga membuktikan komitmen kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh sistem demokrasi dan memastikan Parlimen berfungsi dengan lebih berkesan sebagai institusi pengimbang kuasa.
“Pengembalian akta ini bukan sahaja memulihkan maruah dan kredibiliti institusi Parlimen, malah ia juga menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan integriti dalam pentadbiran negara.
“Sebenarnya sudah sekian lama ahli – ahli parlimen baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang meminta agar akta ini dikembalikan setelah dimansuhkan pada tahun 1992.
“Kita bersyukur akhirnya ia menjadi realiti di bawah Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar. Tahniah atas kejayaan bersejarah ini,” katanya
Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pengembalian akta itu juga adalah satu langkah ke hadapan yang selari dengan aspirasi Malaysia Madani, yang menekankan pemerintahan berintegriti dan berpusatkan rakyat.
Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk terus menyokong usaha murni itu demi kebaikan bersama.
“Saya percaya dengan pengembalian akta ini, Parlimen akan dapat melaksanakan peranannya dengan lebih berkesan seiring dengan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.
“Semoga langkah ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak reformasi progresif untuk masa depan Malaysia yang lebih cerah,” tambahnya.
Dalam pada itu, Madius turut merakamkan penghargaan terhadap perdana menteri yang selama ini mengamalkan pendekatan terbuka dalam menerajui kepimpinan negara.
“Berbanding pemerintahan yang sebelum ini, kita mempunyai kekangan apabila menyuarakan pandangan dan suara – suara rakyat.
“Namun pendekatan Perdana Menteri ini sangat mesra dan terbaik dalam sejarah bagi saya. Beliau sentiasa terbuka dalam mendengar pandangan dan cadangan termasuk daripada kalangan wakil – wakil rakyat Sabah dan Sarawak.
“Ini juga merupakan satu bentuk reformasi yang terhormat dan sekali lagi saya ucapkan terima kasih,” katanya.
Comments