top of page

Pengerusi PH Sabah, pemilihan Ewon buka lembaran baharu lanskap politik Sabah

nabalunews


5 Disember 2024


PENAMPANG: Pemilihan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu membuka dimensi baharu dan pelbagai kemungkinan dalam landskap politik Sabah.


Ketua Pemuda UPKO Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic berkata pemilihan Ewon menunjukkan Pakatan Harapan Sabah mempunyai autonomi untuk menentukan hala tuju politik PH di Sabah dan membuktikan bahawa gabungan ini menghormati prinsip autonomi Sabah dalam menentukan pemimpinnya sendiri.


Billy Joe berkata pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah turut membuka lembaran baharu di mana parti lokal juga boleh memimpin parti nasional.


Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan Ewon sebagai seorang pemimpin muda, mencerminkan kemampuan generasi baharu untuk memegang jawatan penting.


“Ewon ialah contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin muda dapat menjadi Presiden parti, Menteri, dan kini Pengerusi sebuah gabungan nasional. Umur bukanlah halangan untuk memimpin,” tambahnya.


Katanya pemilihan Ewon juga membuka lembaran baharu apabila menjadi pemimpin parti tempatan yang pertama mengetuai gabungan parti politik nasional dan tempatan di Sabah.


“Ini merupakan sejarah baharu dalam politik Sabah. Lazimnya, pemimpin gabungan seperti ini datang daripada parti nasional. Sebagai contoh, Barisan Nasional Sabah dipimpin oleh UMNO, manakala Perikatan Nasional Sabah dipimpin oleh BERSATU, kedua-duanya parti nasional.


“Namun, Pakatan Harapan Sabah kini dipimpin oleh seorang pemimpin dari UPKO, sebuah parti tempatan. Ini menunjukkan bahawa gabungan politik nasional dan tempatan di Sabah boleh bergerak ke arah yang lebih inklusif dan progresif bagi memperkasakan suara Sabah dalam politik peringkat nasional," jelasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page