top of page

Pengguna telefon bimbit digesa beralih ke 4G, rangkaian 3G tamat 2021

Wartawan Nabalu News

Gambar Hiasan

26 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan pengguna telefon bimbit atau peranti 3G agar segera beralih ke rangkaian 4G sebelum rangkaian 3G di Malaysia ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021.


Menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, ini bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi mereka tidak terkesan yang akan menyebabkan mereka ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.


Katanya, pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G disaran segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke 4G, bagi mengelakkan sebarang kesulitan.


“Penyelesaian penamatan rangkaian 3G ini seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).


“Ini bertujuan untuk mengguna semula spektrum yang sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian mudah alih meningkatkan ketersambungan digital dan memberikan pengalaman 4G yang lebih baik dan menarik kepada pelanggan dan isi rumah,” kata kenyataan itu, kelmarin.


Menurut MCMC, peningkatan kualiti yang akan dapat dilihat merangkumi kelajuan data yang lebih tinggi, latensi rendah dan kestabilan rangkaian. Hasilnya, pelanggan akan dapat melayari Internet, menstrim video dan menikmati lain-lain perkhidmatan dalam talian dengan lebih baik dan lancar.


Setakat 30 September 2021, sebanyak 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat.


Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G.


MCMC menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat memanfaatkan inisiatif-inisiatif kerajaan bagi membantu peralihan ke rangkaian 4G sebaik mungkin bagi menikmati kesalinghubungan jalur lebar yang lebih baik dan lancar.


Antara inisiatif tersebut adalah Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin yang membolehkan warganegara Malaysia memiliki atau menaik taraf peranti mudah alih terpilih yang bertaraf 4G VoLTE ataupun membeli pakej perkhidmatan data internet yang telah disubsidi oleh kerajaan dan penyedia perkhidmatan.


Pengguna digalakkan merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing untuk maklumat lebih lanjut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page