top of page
nabalunews

Penggunaan SOSMA dalam kes GISBH melibatkan jenayah berat - Saifuddin



15 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dilakukan berikutan keseriusan jenayah seperti pemerdagangan orang yang terlibat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

 

Menurut beliau, jumlah tahanan yang besar turut menjadi faktor akta ini digunakan bagi melengkapkan siasatan dengan lebih efektif.

 

“Kita menggunakan kaedah biasa namun saiz tangkapan begitu ramai. Kita akan minta reman, kemudian mahkamah akan memberikan tujuh hari, kita belum selesai, kita minta tambahan, mahkamah beri tujuh hari, ada yang beri lima hari, kita minta tambahan lagi, ada mahkamah bagi tiga hari dan ini tidak sempat habis kerana jumlah yang ramai.

 

“Sebab itu kita lihat ada elemen seperti ia dilakukan secara berkumpulan melibatkan jenayah dianggap serius… kalau pemerdagangan orang itu seriuslah, kemudian ia memberi keuntungan dari segi material, kewangan, kuasa atau pengaruh," jelas beliau semasa sesi penggulungan perbahasan di Dewan Rakyat, lapor Bernama.

 

Menurut Saifuddin, jenayah pemerdagangan orang ini dilihat sebagai sangat serius kerana ia melibatkan keuntungan dari segi kewangan, kuasa, dan pengaruh. Oleh itu, Seksyen 130V Kanun Keseksaan diguna pakai selepas tempoh reman tamat, membolewhkan SOSMA diterapkan dalam kes ini.

 

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa wang kutipan ahli GISBH dimasukkan ke dalam akaun peribadi lembaga pengarah syarikat tersebut, dan digunakan untuk membeli aset secara tunai.

 

GISBH mempunyai struktur kluster yang mensasarkan kutipan wang sebanyak RM70,000 sebulan, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun individu dalam lembaga pengarah.

 

 

Comments


bottom of page