top of page

PENGHUNI RUMAH PANGSA TANJUNG ARU KECEWA 'DIARAH KELUAR' TANPA SESI DIALOG

Wartawan Nabalu News

Junz bersama penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru, pada sidang akhbar itu. - Gambar FB Junz Wong

28 Mei 2021


KOTA KINABALU: Penduduk Rumah Pangsa Tanjung Aru melahirkan kekecewaan kerana tanpa ada sesi dialog, mereka terus diarah untuk mengosongkan bangunan dengan kadar segera.


Ketua Biro Badan Bertindak Penghuni Rumah Pangsa, Dewi Awang berkata, dalam notis yang ditampal pada 24 Mei langsung tidak dinyatakan tempoh yang diberikan oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) untuk mereka berpindah.


Beliau berkata, dengan tiada sesi dialog bersama penduduk, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan notis pemberitahuan berpindah tanpa menyediakan rumah untuk penduduk berpindah.


Katanya, rumah pangsa itu dihuni oleh 315 orang penduduk dan dalam kedaan pandemik Covid-19, penduduk yang terdiri dari kalangan B40 di sini tidak mempunyai keupayaan untuk berpindah ke rumah baharu.


Jika benar wujud aspek keselamatan seperti dikatakan dalam notis pemberitahuan itu, kenapa pihak LPPB tidak menyelenggara bangunan ini sejak 15 tahun yang lalu ketika penduduk di sini mula membuat aduan mengenai kerosakan demi kerosakan yang berlaku.


Sejak 15 tahun yang lalu, banyak penghuni di rumah pangsa ini terpaksa membelanjakan kewangan sendiri untuk menyelenggara rumah masing-masing.


“Jika dilihat notis yang dikeluarkan LPPB, mereka seperti tidak mahu meneruskan penyelenggaraan yang utama dengan alasan tidak mempunyai peruntukan. Adakah pembinaan bangunan baharu lebih murah berbanding menyelenggara bangunan sedia ada.


“Jadi, kami mohon LPPB terus menyelenggara bangunan ini selagi penduduk masih tinggal di sini,” katanya semasa sidang media baru-baru ini.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berkata, sekiranya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini prihatin dengan rakyat maka, bantulah rakyat yang kini berdepan kesukaran di sini.


“Penduduk di sini sudah berada di sini puluhan tahun tapi sekarang tiba-tiba mereka diminta berpindah dalam keadaan pandemik Covid-19.


“Jika benar mereka perlu berpindah segera, LPPB harus bantu memindahkan mereka ke tempat lain dan bukan hanya bersikap lepas tangan.


“Bagaimana dengan lokasi sekarang, adakah akan dibina semua rumah PPR atau dibina rumah yang lebih mewah?,” soalnya.


Junz berkata, ini adalah PPR yang tertua di Sabah dan jika benar ianya tidak selamat maka, kerajaan perlu memberi pilihan kepada rakyat untuk berpindah ke PPR sedia ada. – BorneoToday



Comments


bottom of page