top of page
Wartawan Nabalu News

Pengiktirafan JKR Sabah agensi teknikal akan dibincang dalam Majlis Khas MA63


24 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Permohonan kerajaan Sabah dan Sarawak supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Sarawak diiktirafkan sebagai agensi teknikal dijangka akan dibincangkan dan seterusnya diputuskan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam masa terdekat.


Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury berkata, berdasarkan Arahan Perbendaharaan 182.1 (a) semua jabatan bukan teknik hendaklah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Teknik iaitu JKR Malaysia ataupun Jabatan Pengairan dan Saliran bagi melaksanakan sesebuah projek.


Beliau berkata, JKR Sabah telah mengambil beberapa inisiatif dalam usaha untuk menjadikan jabatan itu diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal.


“Sejak isu itu dibangkitkan beberapa tahun lalu, jabatan tersebut telah memberikan penjelasan dan justifikasi kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia dan juga Kementerian Kewangan Malaysia berhubungan kedudukan JKR Sabah dalam melaksanakan projek-projek biayaan Kerajaan Persekutuan sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.


“Selain itu, JKR Sabah juga secara tidak langsung terlibat dalam beberapa sesi perbincangan dalam jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat negeri dan persekutuan berhubung isu tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.


Limus menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang bertanya apakah inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan negeri sejak Oktober 2020 dalam memastikan JKR Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sebagai agensi teknikal pelaksana projek-projek biayaan Kerajaan Persekutuan di Sabah.


Limus berkata, JKR Sabah juga telah menyedikan satu Kertas Kabinet berhubung Dasar Pelaksanaan Projek-Projek Pembangunan Fizikal Persekutuan di Sabah mengenai pelaksanaan projek-projek pembangunan fizikal di bawah peruntukan persekutuan yang dilaksanakan di Sabah dan seterusnya memohon persetujuan Jemaah Menteri agar pelaksanaan projek-projek berkenaan dikendalikan oleh JKR Negeri Sabah.

תגובות


bottom of page