top of page
nabalunews

Pengkelasan T15 masih dalam kajian, kerajaan tidak mahu menyusahkan rakyat - PM

2 November 2024


BUTTERWORTH: Golongan yang berpendapatan RM13,000 sebulan, yang berkemungkinan diletakkan dalam kategori T15, tidak perlu bimbang mengenai langkah pengurangan subsidi yang dirancang kerajaan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan bahawa mereka yang berpendapatan sedemikian tetapi mempunyai tanggungan keluarga yang besar, termasuk anak-anak yang masih bersekolah atau melanjutkan pelajaran ke universiti, tidak akan diklasifikasikan dalam kumpulan tersebut secara automatik.


Beliau turut menekankan bahawa paras pendapatan bulanan RM13,000 yang ditetapkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu dianggap agak rendah dan kerajaan masih dalam proses mengkaji perkara ini secara teliti sebelum memperkenalkan klasifikasi tersebut.


"Kita sedang kaji kerana kita bimbang dan takut bila diperkenalkan (klasifikasi golongan T15) mungkin gaji RM13,000 (sebulan) tetapi ada lima anak dan dua di universiti, yang bila kita tarik subsidi maka akan menyusahkan.


"Tapi bagi mereka yang di rumahnya ada sampai tujuh kipas dan enam penghawa dingin, bayarlah sikit, bukan bayar cukai tambahan tapi bayar ikut kadar pasaran.


"Yang kita tarik subsidi itu bukan rakyat susah atau kelas menengah, namun saya tegaskan yang kita tarik subsidi hanya untuk 15 peratus dan itu pun kita masih kaji. Pendapatan RM13,000 (itu pun) rendah dan kita akan tingkatkan lagi," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA, di sini, hari ini.


Anwar berkata, ahli-ahli politik pembangkang sepatutnya membela 85 peratus rakyat yang masih menikmati subsidi.


"Ini di Parlimen, dia berucap pertahankan golongan kaya dan maha kaya tapi bila masuk kampung, kami pembela Melayu.


"Kita tak tambah cukai tapi kita hanya tarik subsidi. Bila kita tarik subsidi (dekat orang kaya) baru kita ada duit bantu orang miskin," katanya.

Comments


bottom of page