Penglibatan dalam keusahawanan dan koperasi dapat menoktahkan kemiskinan - Ewon
24 Sept 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUDAT: Gerakan dan usaha berterusan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menggalakkan penyertaan dan penglibatan aktif masyarakat dalam bidang keusahawanan dan koperasi, antara usaha dan strategi kerajaan menoktahkan kadar kemiskinan di negara ini termasuk di Utara Sabah seperti di Kudat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, Kudat yang dikategorikan antara daerah termiskin di Malaysia, akan mendapat manfaat melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi di bawah KUSKOP dan agensi rakan strategik kementerian.
Antaranya, penyaluran maklumat serta informasi terkini berkaitan dana pembiayaan, program intervensi serta latihan yang ditawarkan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP.
Katanya, maklumat dan informasi ini disalurkan kepada orang ramai menerusi pelbagai program menarik berkaitan usahawan dan koperasi anjuran KUSKOP seperti karnival dan mini karnival di seluruh pelusuk negara.
“Mudah-mudahan dengan adanya program ini, dapat memberi manfaat kepada rakyat Kudat, satu daerah yang dikategorikan sebagai daerah termiskin terutama di sebelah Pitas dan juga Kota Marudu dan seterusnya kita sama-sama menggunakan gerakan keusahawanan dan gerakan koperasi ini sebagai satu usaha menoktahkan kemiskinan di daerah-daerah di Sabah, termasuk di daerah utara negeri ini.
“Saya amat yakin program seumpama ini dengan perkongsian maklumat dan apatah lagi disambut oleh rakyat Kudat, jumlah masyarakat kita yang tersenarai dalam daftar kemiskinan dapat diturunkan dan dihapuskan pada masa masa akan datang. Itulah tujuannya kita mengadakan karnival pada hari ini," katanya.
Ewon berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Karnival Usahawan dan Koperasi Peringkat Daerah Kudat, pada Sabtu.
Karnival itu bertujuan mempamerkan produk-produk tempatan di daerah Kudat dan seterusnya mempromosi produk berkenaan berkenaan samada secara fizikal ataupun secara dalam talian.
Ketika di Kudat, Ewon turut merasmikan Pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pejabat SKM Kudat akan memainkan peranan signifikan kepada gerakan koperasi di daerah itu.
“Antara lainnya adalah memberi nafas dan semangat baharu kepada perkhidmatan agensi kerajaan ini kepada gerakan koperasi di Kudat.
“Saya ingin melihat respon daripada rakyat Kudat, mudah-mudahan bertambah koperasi di sini, dapat menyediakan koperasi itu sebagai ruang dan platform menambah pendapatan mengembangkan perniagaan sedia ada," katanya.
Menurut Ewon, kementeriannya telah pun memperkenalkan skim-skim khas untuk pembangunan usahawan dan koperasi, termasuk bagi membantu penjaja dan peniaga kecil.
Antaranya Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang dilaksanakan oleh Tekun Nasional serta tiga program untuk pembangunan usahawan dan koperasi di Sabah iaitu Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) Tahun 2023, Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Program Pembiayaan BRTani.
“Contohnya bagi peniaga kecil di tamu tamu, di pasar pasar malam, kita juga telah sediakan skim pembiayaan usahawan tamu yang dilaksanakan oleh Tekun Nasional, agensi kementerian, khas untuk peniaga-peniaga kecil tamu, pembiayaan modal untuk mereka berniaga yang kita lancarkan di Sabah pada bulan Mac tahun ini.
"Seterusnya kita juga telah melancarkan beberapa hari yang lepas, satu skim geran usahawan khas untuk Sabah dan Sarawak di bawah program BEEP Plus dan juga program usahawan belia di bawah program TUBE.
“saya sangat berharap ini disambut oleh rakyat Kudat supaya apabila mereka berkecimpung dalam keusahawanan dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Kudat, sudah tentu ianya akan meningkatkan pendapatan dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan insiden kemiskinan di Sabah, khususnya di daerah-daerah di utara negeri ini,” katanya.
Ewon yakin Pejabat SKM Kudat dapat meneraju gerakan pembangunan usahawan dan koperasi di daerah itu.
"Di kawasan Parlimen Kudat ini, kita dicakupi oleh dua pejabat SKM, satu di Kudat, satu lagi di Kota Marudu, yang mana sebahagiannya adalah mentadbir koperasi-koperasi di daerah Pitas yang juga berada dalam Parlimen Kudat,” katanya.
Beliau berkata, daerah Kudat mempunyai 70 koperasi, di Kota Marudu yang mana sebahagian koperasinya daripada Pitas sebanyak 69 koperasi.
Menurut beliau, koperasi mampu memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara dan boleh mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.
Sehubungan itu katanya prosedur penubuhan koperasi telah ditambah baik.
“Sekarang ini lima orang sudah boleh menubuhkan koperasi. Kita telah tambah baik kaedah penubuhan koperasi supaya lima orang yang mempunyai kemahiran yang sama. Contohnya lima orang yang mengoperasikan perniagaan inap desa, sudah boleh menubuhkan koperasi dan mendapatkan semua kemudahan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” katanya.
Ewon berkata pihaknya di kementeriannya sentiasa bersedia membantu dan memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat.
Comments