Pengurus pusat hiburan ditahan
nabalunews

19 Mac 2025
PENAMPANG: Seorang pengurus ditahan polis selepas premis pusat hiburan ‘jagaannya’ didapati beroperasi melebihi had masa ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya melancarkan operasi Op Noda dan Op Pusat Hiburan di sebuah premis, di sini, malam tadi.
Katanya, sebaik diserbu, seramai 26 pengunjung pusat hiburan telah diperiksa oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Hasil siasatan, polis telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun iaitu pengurus pusat hiburan berkenaan atas kesalahan premis hiburan awam beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.
“Pasukan operasi turut merampas pelbagai peralatan muzik milik premis berkenaan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sammy berkata, individu yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958.
Sehubungan itu, Sammy berkata, pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa.
Katanya, pengusaha premis-premis hiburan di daerah ini juga dinasihatkan supaya mendapatkan lesen hiburan awam dan sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Comments