Pengusaha Pelancongan Semporna Diingatkan Tidak Ambil Pelancong China Sebagai Pekerja Secara Tidak Sah
18 November 2024
KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan di Semporna diberi peringatan tegas agar tidak menggaji pelancong warga China secara tidak sah untuk bekerja di syarikat pelancongan masing-masing.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, berkata pihaknya memandang serius isu ini kerana ia bukanlah perkara baharu, malah telah beberapa kali dilaporkan berlaku di kawasan tersebut.
Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan demi memastikan kelestarian dan profesionalisme sektor pelancongan di Sabah.
Christina berkata kementeriannya akan terus memantau keadaan ini dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) di sidang Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Isnin.
Mohd Shafie membangkitkan isu pemandu pelancong tidak sah yang dilakukan oleh warga China bekerja di daerah itu.
Christina berkata, banyak usaha telah dilakukan untuk membanteras kegiatan tersebut tetapi masih ada pihak yang melakukannya secara tidak sah.
"Namun pihak berkuasa termasuk polis sedang memantau dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan bahagian keselamatan di kementerian kami.
"Kementerian saya sudah tubuhkan dua unit yang mana dipanggil 'SOS Emergency' jika ada kemalangan berlaku boleh hubungi nombor itu segera untuk mendapatkan bantuan.
"Ini adalah cara yang kita boleh buat untuk sementara sekarang, kita juga berkerja rapat dengan Taman-Taman Sabah (TTS) Bahagian pelancongan di Semporna," katanya.
Comments