top of page

Peniaga diingatkan patuh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

nabalunews


25 Mac 2025


TAWAU: Para peniaga di daerah ini diingatkan agar mematuhi harga yang ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2025 melibatkan 23 jenis barangan yang ditetapkan.


Selain itu, peniaga juga diingatkan supaya menggunakan label merah jambu bagi semua barangan yang harganya dikawal sepanjang tempoh 15 hari pelaksanaan Skim Harga tersebut, bermula 24 Mac hingga 7 April.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau, Sam Aminudin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.



Katanya, tindakan akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebih harga maksimum berdepan denda sehingga RM100,000 bagi individu atau kompaun RM50,000 dan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000 bagi syarikat.


“Manakala, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barang harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun RM5,000 dan syarikat pula didenda sehingga RM20,000 atau kompaun RM10,000,” katanya.


Dalam masa yang sama, Sam meminta orang ramai memaklumkan kepada KPDN berhubung ketidakpatuhan ke atas Skim di bawah kempen KITA GEMPUR bersama butiran aduan lengkap menerusi pelbagai saluran sedia ada.


Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi WhatsApp 019-848 8000; Call Centre 1-800-886-800; E-mel e-aduan@kpdn.gov.my; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.


Menurutnya, para pegawai penguatKuasa KPDN cawangan Tawau akan ditugaskan di lokasi- lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.


Aminudin berkata, KPDN mengenalpasti 23 jenis barangan yang akan dikawal di bawah Skim Harga tersebut bagi negeri Sabah selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.


Antara barangan tersebut ialah Daging Kerbau Import; Ikan Kembung Termasuk Ikan Mabung (berat antara 8 ekor hingga 12 ekor setiap kilogram), Sawi Hijau, Timun, Tomato, Cili Merah, Kacang Panjang, Lobak Merah, Bawang Kuning Besar, Bawang Merah Besar Import, Bawang Merah Kecil India, Kelapa Biji, Kelapa Parut dan Santan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page