Peniaga, pengunjung kini lebih selesa kawasan Tamu Taginambur dinaiktaraf
10 Disember 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Para peniaga dan pengunjung Tamu Taginambur di sini gembira dan rasa amat bertuah mempunyai bangunan Kadamaian Square dan kawasan tamu yang lebih selesa.
Mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick kerana atas usahanya kawasan Tamu Taginambur bertukar wajah.
Seorang pengunjung Tamu Taginambur Rianna Sham berkata, lima tahun lalu kawasan itu tidak secantik dan seindah yang ada sekarang.
“Ini pertama kali saya berkunjung setelah sekian lama tidak datang sini. Bukan sahaja bangunan Dewan Kadamaian Square tersergam indah tetapi kawasan tamu dan tempat letak kereta juga dinaiktaraf, kini ada ada rumah rehat yang cantik di kawasan ini.
“Penduduk Kadamaian amat bertuah kerana mempunyai Wakil Rakyat seperti Datuk Ewon yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
“Walaupun baru beberapa tahun menjadi wakil rakyat Kadamaian tetapi beliau berjaya mengubah wajah Tamu Taginambur menjadi sebuah kawasan yang menarik,” katanya ketika ditemui Nabalu News, di sini, hari ini.
Bekas Setiausaha Politik Datuk Ewon, Carlye Lajimin berkata, ini antara perubahan pembangunan ketara atas keprihatinan Kerajaan Sabah 2018-2020 yang Ewon berjaya perjuangkan seperti dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035.
“Penaiktarafan kawasan Tamu Taginambur meliputi pembinaan Dewan Kadamaian Square, tapak tamu dan tempat letak kereta konkrit, pembinaan Rumah Rehat, kafeteria, pembinaan konkrit tebing sungai di sepanjang persisiran tamu dan penambahbaikan kemudahan dewan Kadamain,” katanya.
Sementara itu seorang peniaga Tamu Taginambur berkata, sebelum ini setiap kali hujan, kawasan tamu dipenuhi lumpur.
“Ia bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan para peniaga tetapi juga para pengunjung.
“Kini selepas kawasan tamu ini dinaiktaraf, para peniaga bukan sahaja mempunyai kawasan yang selesa untuk menjual hasil-hasil pertanian tetapi para pengunjung juga selesa walaupun hujan.
“Terima kasih YB Datuk Ewon kerana berjaya membangunkan kawasan Tamu Taginambur, sekaligus meningkatkan imej Kadamaian dimata pengunjung luar,” katanya.
Comentários