Peningkatan prestasi SPM 2022: Sejarah catat pencapaian tertinggi
- Wartawan Nabalu News
- Jun 9, 2023
- 1 min read

9 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan semalam menunjukkan peningkatan prestasi dalam kebanyakan mata pelajaran, terutamanya mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains.
Mata pelajaran Sejarah mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi iaitu sebanyak 0.23 mata, manakala mata pelajaran Pendidikan Moral pula mencatatkan penurunan sebanyak 0.07 mata.
Sebanyak 69 daripada 95 mata pelajaran mencatatkan peningkatan, manakala 24 mata pelajaran mencatatkan penurunan. Dua mata pelajaran pula menunjukkan prestasi tidak berubah atau kekal.
Sejumlah 10,109 calon SPM 2022 mendapat gred cemerlang A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,079 calon berbanding tahun lepas.
Gred Purata Negara (GPN) bagi SPM 2022 adalah lebih baik iaitu 4.74 berbanding 4.86 pada tahun lepas. Nilai GPN yang lebih rendah menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.
Sebanyak 91.6 peratus daripada 373,974 calon yang menduduki SPM 2022 layak menerima sijil berbanding 88.1 peratus pada tahun lepas.
Ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan diperkenalkan pada tahun 2013 dan buat julung kalinya melebihi 90 peratus.
Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM tahun 2022 yang lengkap boleh diakses menerusi portal Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.
Comments